Rumah paling mahal, besar di dunia, hanya untuk lima orang!

Bangunan menara 27 tingkat milik lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani. Foto Moment RM

BANGUNAN menara ini dipercayai sebagai rumah paling mahal dan terbesar di dunia, dengan kediamannya hanya menempatkan lima orang.

Menelan belanja £1 bilion (RM5.45 bilion), hartanah yang mengagumkan itu terletak di selatan Mumbai, India.

Ia dilengkapi dengan tiga helipad, sebuah pawagam, beberapa kolam renang dan mempunyai 600 kakitangan.

Ia turut mempunyai dewan besar yang mana 80 peratus silingnya dipasang dengan lampu candelier, malah mempunyai taman empat tingkat.


Bangunan menara ini mempunyai 600 kakitangan. Foto Moment RM

Bangunan 27 tingkat itu merupakan kediaman bagi lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani, bersama isterinya, Nita dan tiga anak mereka.

Mukesh Ambani, 61, merupakan seorang ahli perniagaan yang mempengerusikan dan mengendalikan syarikat gergasi minyak dan gas Reliance Industries, salah satu syarikat paling bernilai di India.

Syarikat tersebut ditubuhkan oleh arwah bapanya, Dhirubhai Ambani.

Ambani menamakan kediaman itu Antilia, sebagai penghormatan kepada sebuah pulau legenda.

Mukesh Ambani bersama isterinya, Nita. Foto Image Getty Images Europe

Hartanah itu diisytiharkan sebagai kediaman persendirian berbilion dolar pertama di dunia pada 2010.

Forbes menyenaraikan Ambani sebagai lelaki terkaya di India dalam senarai kekayaan pada 2016, dengan mendedahkan nilainya dianggarkan £34 bilion (RM185.32 bilion).

Selain Reliance, beliau turut merupakan pemilik bagi pasukan kriket Liga Perdana India, Mumbai Indians, dan sebuah universiti di negara itu. – Mirror Online UK

Sumber:mstar