Anak Bob Lokman meningg*l dunia

ANAK sulung pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman iaitu Mohamad Adam, 25, disahkan meningg*l dunia, 1 pagi hari ini selepas pengsan di rumahnya di Sungai Buloh.

Bob, 54, atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman ketika dihubungi berkata, Adam mempunyai sejarah ketumbuhan dalam otak dan pernah beberapa kali pengsan.

Menurut Bob, kali terakhir dia bercakap dengan Adam pada 11 malam tadi kerana dikejutkan arwah bagi bertanya mengenai barang niaga pagi ini.

“Semasa darjah dua, Adam disahkan ada ketumbuhan dalam otak. Selepas itu doktor berjaya buang ketumbuhan. Setahun juga Adam berada dalam wad.

“Meski Adam sudah menjalani kimoterapi, doktor maklumkan ketumbuhan ini boleh datang lagi. Disebabkan itu, Adam selalu pengsan.

“Malam tadi, dia kejutkan saya dan bertanya nak gunakan berapa ekor ayam untuk berniaga pagi ini. Itu kali terakhir saya bercakap dengan Adam sebelum dia pengsan dan nazak pada 1 pagi,” katanya kepada Harian Metro.

Bob yang yang juga penulis lirik lagu Isabella nyanyian Amy Search berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik selain hilang selera makan.

“Sebelum ini Adam pernah pengsan. Apabila sedarkan diri, dia tidak ingat macam mana perkara itu boleh berlaku.

“Cuma, apa saya perasan sejak kebelakangan ini Adam semakin kurus, katanya dia tidak ada selera makan. Selebihnya, dia menunjukkan sikap biasa macam selalu.

“Dia seorang anak yang baik. Dia tulang belakang keluarga dengan membantu menguruskan perniagaan. Dia juga yang banyak bantu dan jaga saya ketika masuk hospital,” katanya.

Jen*zah kini berada di rumah mereka dan dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Batu 20, Kuang.