PENYANYI, Hael Husaini menerusi Instagram miliknya, berkongsi satu video ketika diawal pembabitannya di dalam industri seni, baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi 38 saat itu memaparkan penyanyi Jampi ini mengikuti pertandingan realiti TV, One In A Million sekitar 2008.
“This is how it started . 12 years ago,” coret Hael.
Ketika itu, Hael dikritik hebat oleh dua juri yang digeruni peserta, Datuk Syafinaz Selamat dan Paul Moss ketika berada di fasa saringan untuk ke peringkat seterusnya.
Menurut kedua-dua juri, berkata, Hael tidak mempersembahkan nyanyiannya dengan bersungguh. Jelas terpancar di wajah juri-juri tersebut tidak berpuas hati.
Begitupun, penyanyi popular menerusi lagu Hajat itu, nyata telah membuktikan dan membuka mata kedua juri berkenaan serta orang ramai bahawa dia mempunyai bakat yang besar dalam industri muzik tanah air.
Selain itu, Hael juga sebelum ini berjaya mencipta nama menerusi berkumpulan, Azhael sejak mengikuti rancangan TV, Akademi Fantasia 2013. Malah, duo ini turut berjaya dinobatkan sebagai naib juara.
Bukan sahaja mempunyai vokal dan karya yang berkualiti, bahkan terbaharu Hael telah menghasilkan sebuah lagu Anta Permana buat Datuk Seri Siti Nurhaliza.