Penduduk diarah pindah, tanah “terbelah”

BEBERAPA rumah di Kampung Pawong, Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Jalan Cameron Highlands, Ipoh mengalami keretakan selepas dipercayai berlakunya pergerakan tanah di kampung berkenaan, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 3.03 petang sebelum sepasukan anggota diarahkan ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan di kampung berkenaan.

Katanya, bomba mendapati memang benar berlaku pergerakan tanah sehingga menyebabkan beberapa rumah mengalami keretakan kecil dan pemantauan lanjut dijalankan.

Menurutnya, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan kes itu selepas pemantauan dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dan Kedah, Hairulnizam Abd Rahman, ketika dihubungi berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengarahkan semua penduduk yang kediaman mereka terjejas akibat pergerakan tanah itu supaya berpindah ke lokasi lebih selamat.

“Setakat saya dimaklumkan, semua penghuni terbabit kini menumpang di kediaman sanak saudara di kampung berkenaan buat sementara waktu sehingga mendapat arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

“Saya masih berhubung dengan pihak Ibu Pejabat JAKOA Putrajaya bagi mendapatkan arahan selanjutnya berhubung insiden itu terutama daripada aspek bantuan serta keperluan mangsa terjejas.

“Ia termasuk memikirkan kaedah menempatkan atau membina semula kediaman mangsa yang terjejas berpandukan laporan akan diterima daripada pihak berwajib terutama bomba.

“Jika tanah tidak lagi sesuai untuk diduduki atau kejadian itu dikategorikan sebagai bencana, kita kena cari tapak yang baharu dan bersesuaian untuk pembinaan kediaman baharu,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Hairulnizam berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat maklumat penuh berhubung kejadian dan pegawainya akan berhubung dengan Tok Batin Kampung Pawong, Pos Raya bagi mendapatkan maklumat penuh seterusnya membolehkan bantuan susulan dihulurkan secepat mungkin.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil, berkata JMG Perak menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 petang dan sudah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan di lapangan bagi mencari punca kejadian.

“Saya masih menunggu laporan daripada pegawai di lapangan dan akan memaklumkan hasil dapatan sebaik ia diperoleh,” katanya.

Sumber:HMetro