KUALA LUMPUR: Biarpun sering menjadi mangsa kecaman netizen di laman sosial, keberanian Neelofa dalam menggayakan fesyen menarik perhatian dua agensi antarabangsa untuk melamarnya bernaung di bawah pengurusan mereka.
Neelofa berkata, dia akan berlepas ke London, United Kingdom dan Paris, Perancis bulan depan untuk mengikat kontrak bersama agensi di sana, sekali gus mengukuhkan lagi namanya dalam bidang fesyen Muslimah serta kecantikan.
“Mereka akan menguruskan perjalanan bakat saya di sana dengan mencari peluang meneroka pasaran di Eropah dan United Kingdom. Kerjasama kami bagaimanapun, tidak membabitkan kerjaya lakonan dan pengacaraan.
“Buat sementara waktu, saya masih belum bersedia untuk mengumumkan nama kedua-dua agensi itu. Biarlah semua proses itu selesai, baru saya bersedia untuk berkongsi dengan umum,” katanya.
Ditemui pada majlis memperkenalkan Lofarbag Mini yang diinspirasinya dengan kerjasama Sometime by Asian Designers dan Zalora, Neelofa berkata, dia juga masih belum dapat berkongsi butiran lanjut mengenai kontrak bersama IMG Models yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Untuk kerjasama dengan agensi peragaan itu, ia masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada kata putus lagi,” katanya.
Pengacara program MeleTOP! itu sebelum ini, sering menjadi mangsa kecaman dan hentaman netizen gara-gara keberaniannya dalam berfesyen.
Neelofa yang pernah lima kali dinobatkan sebagai Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) berkata, dia tidak terkesan biarpun penampilannya sering dipersenda.
“Saya seolah-olah menjadi bahan jenaka mereka, namun saya tidak pernah ambil serius semua itu. Jika saya meletakkan diri sama seperti mereka, saya tidak akan ke mana-mana.
“Saya tahu apa yang saya buat selama ini, malah sendaan itu sebenarnya menjadi ruang untuk saya memperbetulkan kelemahan yang ada.
“Saya sentiasa ambil selangkah ke depan kerana jika tidak, saya sama seperti mereka yang gemar mencari perkara negatif.
“Dalam berfesyen, saya suka bereksperimen dan ada kalanya agak berani. Tetapi, saya sentiasa berusaha untuk melebarkan sayap dalam bidang fesyen dan kecantikan di luar negara,” katanya.
Well said,Lofa. Semoga sentiasa sukses. You go,girl!
Sumber:Berita Harian