Safiq Rahim Jadi Rebutan Kelab Thailand dan Indonesia

Kelab dari Indonesia dan Thailand nampaknya berminat untuk mendapatkan khidmat bekas ketua pasukan Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim.

Setelah meninggalkan juara 5 kali Liga Super itu, masa depan Safiq menjadi tanda tanya sama ada beliau akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia atau beliau bakal beraksi dalam saingan Liga luar negara.

Baru-baru ini, Safiq seperti memberi bayangan tentang destinasi beliau musim hadapan dimana Safiq memuat naik status di Insta Story beliau dengan tulisan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Sebelum ini, juara Thai League 1, Buriram United dikatakan berminat untuk membawa masuk pemain berusia 31 tahun ini.

Thai League sememangnya sedang gencar dalam membawa masuk pemain dari rantau Asia Tenggara dan Malaysia sendiri telah diwakili oleh tiga pemain iaitu Kiko Insa, Curran Ferns dan Shahrel Fikri Fauzi.

Menyentuh mengenai Liga Indonesia pula, setakat ini hanya seorang pemain Malaysia yang pernah beraksi di sana iaitu penyerang senior negara, Safee Sali. Safee beraksi untuk Pelita Jaya Karawang dan Arema Indonesia sebelum mengambil keputusan untuk menyertai revolusi Johor Darul Ta’zim pada 2013.

Jika benar Liga 1 Indonesia menjadi destinasi Safiq yany seterusnya, maka perkara tersebut akan menjadi cabaran yang tersendiri kerana Safiq akan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setiap minggu dan beliau sudah pasti berdepan cabaran yang berbeza.

Apa yang pasti, Safiq dilihat masih lagi mahu untuk beraksi di tahap tertinggi dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan rentak walaupun telah memenangi segala-galanya ketika beraksi bersama JDT.

Mana-mana pasukan yang berjaya memperoleh khidmat bekas ketua pasukan kebangsaan ini bakal mempunyai kelebihan di bahagian tengah kerana pengalaman luas yang dimiliki oleh Safiq mampu untuk membantu serta meningkatkan kualiti pasukan.

Apa pendapat anda mengenai kemanakah destinasi Safiq Rahim bagi saingan musim 2019? Adakah beliau patut kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia?

Atau Safiq perlu mencari cabaran baru dengan beraksi di liga luar negara?