ISTERI kepada Suhaimi Saad iaitu Ina Naim meluahkan rasa sedih dan marah terhadap tanggapan segelintir netizen yang menuduh dia menjadi mangsa dan terpaksa mengikut keputusan suaminya untuk menjalani kehidupan berbeza berbanding orang lain.
Ina menerusi Facebook suaminya berkata, semua keputusan yang dibuat oleh Suhaimi adalah hasil perbincangan bersama dia dan anak-anak.
“Suami saya akan bertanya pendapat saya dan anak-anak sebelum membuat sesuatu keputusan. Kita akan bermesyuarat dan mengundi jika ramai kata A maka itulah keputusannya.
“Saya ikut, kalau itu yang terbaik bagi dia, maka ia terbaik bagi saya juga. Sedangkan nak makan pun kami berbincang dulu,” ujarnya.
Bekas anggota kumpulan nasyid In Team menerima kritikan ramai apabila mendedahkan tidak menghantar anak ke sekolah sebaliknya memberi pendidikan cara sendiri kepada mereka di rumah.
Suhaimi yang sebelum ini pernah dikecam gara-gara enggan mengambil suntikan vaksin kepada anak-anak dan tidak mendapatkan ubat hospital menjelaskan tahap pembelajaran dan kepandaian seseorang tidak bergantung kepada sekolah.
Dia menerapkan makanan dan cara perubatan sunnah.
Demi Allah saya tidak stress dan saya bahagia walaupun orang kata kami hidup zuhud, biarlah orang kata begitu daripada hidup kaya dan lupa diri.-INA NAIM
Ina berkata dia berasa marah dan geram dengan dakwaan segelintir netizen terhadap kehidupan yang dipilih oleh keluarga mereka.
Biarpun dalam keadaan serba kekurangan, namun mereka melalui kehidupan yang bahagia.
Dalam pada itu, Ina berkata, suaminya seorang yang baik dan sentiasa mengambil berat terhadap dia dan anak-anak.
“Demi Allah saya tidak stress dan saya bahagia walaupun orang kata kami hidup zuhud, biarlah orang kata begitu daripada hidup kaya dan lupa diri.
“Suhaimi suami yang baik, kalau dia jahat sudah lama dia tinggalkan saya. Ramai sahaja perempuan mesej kacau-kacau dia tapi dia kuat iman,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas isu vaksin dan tidak menghantar anak ke sekolah, Ina berkata, dia sudah meminta pendapat daripada pelbagai pihak sebelum membuat keputusan.
Ina meluahkan perasaannya di siaran langsung Facebook suaminya malam Isnin.
“Kami sudah tanya profesor dan pensyarah tentang isu sekolah itu, ramai juga golongan mereka yang tidak hantar anak ke sekolah.
“Anak mereka belajar sendiri di rumah dan boleh saja sambung pengajian di Mesir selepas itu,” ujarnya.
Sementara itu, Ina turut menafikan mereka membuat perkara tersebut untuk mendapatkan perhatian masyarakat bagi menjual produk.
“Ramai Datuk hubungi saya kata kami nak jual produk dan sengaja nak viral supaya senang untuk strategi marketing.
“Kami tidak fikir seperti itu, demi Allah bukan sebab itu,” ujarnya.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber:mstar