PENYANYI nasyid kontroversi Suhaimi Saad tidak mahu mendedahkan program seminar keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak anjuran syarikatnya atas faktor keselamatan.
Suhaimi berkata, lokasi sebenar hanya akan diberitahu kepada peserta yang sudah membuat bayaran dan benar-benar serius untuk menyertai program berkenaan.
“Program itu akan berlangsung di Shah Alam. Atas sebab privasi dan keselamatan kami hanya akan maklumkan lokasi sebenar kepada peserta yang membuat bayaran sahaja,” ujarnya kepada mStar Online.
Suhaimi pada Ahad memuat naik poster berkaitan program berkenaan di laman sosial Facebooknya pada Ahad.
Suhaimi menerima pelbagai reaksi netizen berkaitan seminar terbabit.
Program bertajuk ‘Seminar Keibubapaan Dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak’ itu akan diadakan pada 31 Mac ini dengan bayaran sebanyak RM269.
Sementara itu isterinya, Ina Naim dan anak-anak bakal diundang sebagai penampilan istimewa.
Dalam pada itu, Kata Suhaimi, dia mendapat idea untuk mengajurkan program tersebut selepas ramai yang bertanya dan meminta pandangan terhadap cara mendidik anak.
“Sejak tukar ramai yang kecam prinsip dan cara saya, tapi ramai juga yang hormat dan tanya banyak soalan. Mereka minta pandangan khususnya berkaitan cara mendidik anak dan homeschooling (belajar dari rumah).
“Ini adalah impian dan sumbangan saya kepada masyarakat khususnya umat Islam,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia tidak menetapkan sasaran individu yang hadir dan akan tetap meneruskan program itu biarpun dengan 20 peserta sahaja.
Suhaimi turut memberi amaran untuk mendedahkan nombor telefon individu yang sengaja ingin mempermainkannya dalam membuat pendaftaran secara tidak langsung menganggu kelancaran program tersebut.
“Kalau tak mahu atau tak mampu, tak perlu buang masa. Allah tahu niat setiap kita.
“Amaran kepada siapa yang main-main saya akan dedahkan nomber telefon dia,” ujarnya.
Suhaimi berkata, biarpun ramai yang tidak serius, namun ada yang sudah membuat bayaran dan berminat menghadiri seminar tersebut.
“Ini adalah impian dan sumbangan saya kepada masyarakat khususnya umat Islam,” ujarnya.
Sebelum ini, Suhaimi mencetuskan kontroversi apabila membuat kenyataan tidak menghantar anak ke sekolah, tidak mengambil vaksin dan percaya bumi berbentuk rata.
Pendapat suami Ina Naim itu mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial.