(Video) Menyedihkan. Pelajar Sampai Menggigil Akibat Terhidu Bahan Kimia. Memang Patut Sultan Johor Murka!

Dua lagi sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, dekat Pasir Gudang, di Johor Bahru menjadi ‘mangsa pencemaran’ dipercayai akibat pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, Khamis lepas.

Dua sekolah itu terpaksa ditutup hari ini apabila pelajar, guru dan kakitangan sekolah itu terpaksa dirawat kerana mempunyai simptom sesak nafas, loya dan muntah.

Kes terbaru hari ini menjadikan empat sekolah terjejas akibat pencemaran dipercayai ekoran pembuangan sisa kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan kesihatan ramai murid, guru-guru, kakitangan sekolah dan orang awam di kawasan sekitar sungai itu.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri mahupun agensi kerajaan terlibat mengenai kejadian hari ini yang menyebabkan lebih 250 orang mengalami simptom sesak nafas dan terpaksa diberi rawatan.

Kejadian pagi ini menyaksikan 266 pelajar dan murid serta kakitangan dari sekolah berkaitan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala 42 lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah setakat 4 petang.

Selain dua sekolah yang ditutup hari ini, dua sekolah lagi — SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih turut ditutup semalam berikutan insiden ‘gelombang kedua’ pencemaran yang mengakibatkan 209 dirujuk ke HSI sehingga malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal yang melawat mangsa di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih petang tadi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu termasuk jumlah pecahan mangsa terlibat.

“Oleh kerana sekarang ia (kejadian) melibatkan peringkat negeri…saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut,” katanya yang ditemui pemberita di dewan berkenaan.

Sehingga 6.51 petang, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan dari kerajaan negeri ataupun agensi terlibat bagi mengulas kejadian terbaru ini.

Difahamkan satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani berlangsung petang ini bagi membincangkan langkah-langkah mengatasi serta langkah seterusnya bagi menangani isu itu.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang menzahirkan kemurkaan akan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa kimia ke Sungai Kim Kim dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Baginda yang kesal dengan insiden itu bertitah pihak berkuasa perlu melakukan siasatan secara menyeluruh sekali gus mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Baginda bertitah disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, ratusan mangsa termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan, malah ada yang bertarung nyawa dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya,” titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO) menerusi Facebook rasmi baginda di Johor Bahru, hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang melawat mangsa di HSI turut geram dan kesal akan kejadian itu dan berharap pihak yang bertanggungjawab segera dihadapkan ke muka pengadilan dan mendapat hukuman setimpal kerana ia melibatkan soal keselamatan orang ramai termasuk murid dan pelajar.

Khamis lepas media melaporkan 1,400 pelajar sekolah SMK Pasir Putih dan SK Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Semalam tiga lelaki terdiri daripada pemilik kilang memproses bahan kimia dan pemilik kilang memproses bahan lusuh bersama pekerjanya ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke sungai itu.

Sumber : Malaysia KINI via Edisi Media