Cuaca panas dijangka berterusan hingga Mei ini

FENOMENA global yang mempengaruhi keadaan cuaca semasa seperti El-Nino terbentuk dan berterusan hingga Mei ini, kata Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geo Fizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Dr Hisham Mohd Anip.

Memetik laporan Harian Metro, sepanjang tempoh tinjauan Mac hingga Ogos ini, keadaan cuaca di negara ini dipengaruhi tiga fasa monsun iaitu Monsun Timur Laut (Mac), peralihan monsun (April) dan Monsun Barat Daya (Mei-Ogos).

Beliau berkata, penghujung Monsun Timur Laut kebanyakan tempat lazimnya kurang menerima hujan bagi tempoh panjang.

“Keadaan ini juga boleh menyebabkan bacaan suhu di negeri utara dan tengah Semenanjung Malaysia meningkat kerana cenderung untuk mengalami keadaan cuaca lebih panas dan kering berbanding negeri lain.

“Bulan ini kebanyakan tempat di semenanjung dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata kecuali di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Hulu Perak, Kelantan dan Terengganu yang dijangka menerima hujan sedikit di bawah paras purata dengan jumlah kurang daripada 150 milimeter (mm).

“Negeri di pantai barat Semenanjung dijangka menerima jumlah hujan di antara 100 hingga 350 mm.

“Kebanyakan bahagian di Sabah dijangka menerima jumlah taburan hujan kurang berbanding purata bulanan iaitu kurang 150 mm,” katanya.

Dr Hisham berkata, musim peralihan monsun kebiasaannya berlaku pada April dan lazimnya berakhir pertengahan Mei.

“Sepanjang tempoh ini, aktiviti perolakan cenderung untuk berlaku berikutan tiupan angin yang lemah dari pelbagai arah di samping keadaan atmosfera tidak stabil.

“Ini boleh mengakibatkan hujan lebat serta ribut petir dan angin kencang boleh terjadi pada sebelah petang terutama bagi negeri di pantai barat semenanjung.

“Sepanjang April ini, kebanyakan tempat di semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata kecuali di Hulu Perak, Kelantan dan sebahagian utara Terengganu yang dijangka menerima taburan hujan kurang daripada 150 mm iaitu sedikit bawah daripada paras purata hujan bulanan,” katanya.

Menurutnya, lain-lain tempat di semenanjung dijangka menerima jumlah hujan di antara 150 hingga 400 mm.

“Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata sepanjang Mac ini.

“Kawasan pedalaman Sarawak seperti Kapit dijangka menerima cuaca lebih lembap berbanding bahagian lain dengan jumlah hujan bulanan boleh mencecah sehingga 450 mm,” katanya.

 

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:sinarharian