Masakan yang sinonim dengan Negeri Sembilan, pasti ramai yang terbayangkan kuah lemak berwarna kekuningan yang kaya dengan ramuan santan dan cili api.
Baik menggunakan ikan sungai salai, udang galah, ayam kampung mahupun daging yang disalai, masak lemak cili api ini sudah menjadi hidangan wajib bagi penduduk di negeri itu sejak beratus tahun dahulu.
Namun, selain masak lemak cili api, negeri yang terkenal dengan budaya Minang itu turut popular dengan masakan tradisionalnya iaitu rendang daging.
Lebih menarik, rendang daging style Minang ini turut disenaraikan sebagai 50 hidangan terlazat di dunia oleh CNN International menerusi pencarian daftar makanan World’s 50 Most Delicious Foods pada tahun 2011.
Di pekan Gemencheh yang terletak di daerah Tampin, misalnya, ia sangat popular dengan masakan rendang maman.
Orang Johol
“Orang sini memang suko bonar rondang maman. Laie-laei bilo nak rayo.
“Kalau tak do maman, tak rayolah Monceh,” seloroh Meriam Pilus, 63, dalam loghat Negeri Sembilan.
Menurut anak jati Gemencheh itu, keakraban masyarakat tempatan dengan rendang maman memang tidak boleh dipertikaikan.
Katanya, masakan tersebut bukan sahaja diminati oleh orang Melayu malah orang Cina dan India. Juadah wajib ada semasa perayaan Aidilfitri itu turut menjadi hidangan pilihan keluarga semasa sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali.
“Jangan pelik kalau masyarakat Cina dan India di sini pun sudah pandai masak rendang maman,” katanya yang berasal dari Kampung Geduk, satu-satunya kampung di Gemencheh yang mengusahakan tanaman sayuran maman secara komersial.
RENDANG maman dimasak menggunakan bahan-bahan yang ringkas. Hanya santan, cili api, kunyit hidup, asam keping dan garam diperlukan.
Tidak lokek berkongsi resipi, menurut Che Som, kunci untuk mendapatkan rendang maman yang sedap adalah cara penyediaannya yang masih mengekalkan cara lama selain menggunakan bahan-bahan utama secukupnya.
“Bahan untuk memasak rendang maman cuma santan, kunyit hidup, cili api, asam keping dan garam secukup rasa.
“Daging yang telah disalai dimasukkan ke dalam kuali bersama cili dan kunyit yang ditumbuk halus.
“Selepas bahan-bahan tadi mesra, masukkan santan yang telah diperah. Santan jangan terlalu cair dan terlalu pekat.
“Biasanya untuk sekilo maman, dua hingga tiga biji kelapa diperlukan,” kata Che Som sambil membetulkan kedudukan kayu api.
Memandangkan sayur maman ini pahit, asam keping perlu digunakan untuk menghilangkan rasa pahit tersebut.
“Untuk sekilogram maman, lebih kurang enam hingga tujuh keping asam diperlukan,” ujar Meriam sambil mengacau santan.
Selepas santan menggelegak dan mula mengering, barulah sayur maman dimasukkan.
Ia kemudian dimasak sehingga santan kering. Di tahap ini, ada syarat penting yang perlu dipatuhi, maman jangan dikacau selalu, jika tidak sekawah rendang akan pahit!
Sumber: Kosmo
RESIPI RENDANG MAMAN AYAM KAMPUNG
BAHAN-BAHAN:
- 1ekor ayam kampung atau boleh juga (1 ekor itik/10 ekor puyuh/1kg daging)
- 2kg sayur maman
- 2 kg santan/6 biji kelapa(perlu banyak santan)
- Cili api rm1.50/ikut suka pedas
- 8/10 keping asam keping
- 2buku kunyit hidup/agak2
- garam secukup rasa.
CARA MEMASAK:
1. Siang daun maman,basuh dan tus terlebih awal supaya daun maman tidak terlalu basah.
2. Bersihkan daging dan masukkkan ke dalam kuali.
3. Kunyit dan cili api dikisar dan campurkan ke dalam daging tadi.
4. Kecutkan daging bersama air cili tadi sehingga agak kering,baru masukkan santan. (Kalau kelapa parut,perahlah terlebih dahulu,ambil santan pekat-pekat). Kalau bahan daging tadi agak keras masukkan dulu santan cair. Kalau tiada santan cair, masukkan air cili kisar tadi lebih2.
5. Kacau bahan daging & air cili itu supaya rata.Masukkan garam.Kalau puyuh, dagingnya lembut,eloklah dikeluarkan dulu dan biarkan santan itu mendidih sampai pekat.
6. Setelah pekat masukkan asam keping. Nampak santan tersebut sudah terbit minyak dan pekat baru masukkan daun maman tadi.
7. Jangan dikacau terlalu kuat,kerana dikhuatiri keluar air pahitnya.Buat perlahan-lahan supaya daunnya semua layu dan tenggelam.
8. Setelah semuanya layu,barulah dikacau rata-rata dan rasa garamnya.
9. Biarkan ramuan tersebut pekat semula dan terbit minyak,barulah boleh diangkat untuk dihidangkan.
Nota: resepi ini untuk 7 orang makan
Selamat Mencuba !
Sumber: Rawang Post