“Kalau saya bukan OKU, saya tak akan dapat apa yang saya miliki sekarang.” – Ras Adiba Radzi

Terinspirasi dengar kisah hidup wanita cekal bernama Ras Adiba Radzi ini. Secara luaran, ramai melihat kehidupan yang dilaluinya cukup mudah. Namun, di sebalik kesenangan hari ini… banyak ranjau berliku telah ditempuhi penyampai berita ini tanpa pengetahuan masyarakat. Enggan ‘terperangkap’ dengan rasa malu atas kekurangan diri, Ras bangkit dengan semangat baru!

Detik hitam yang menimpa diri Ras sekitar 17 tahun lalu benar-benar menyentap semangat dan keyakinan dirinya. Mengakui kelu dan kaku menerima ketentuan takdir saat itu, langit cerah yang menerangi hidup Ras selama ini bertukar mendung sekelip mata. Baru ‘semalam’ dia berjalan lincah seperti insan normal lain tapi ‘hari ini’ dia terpaksa menggalas status Orang Kurang Upaya (OKU). Sekian lama bertarung dengan emosi dan diri sendiri, Ras akhirnya temui erti hidup yang lebih luas.

“Kita diberikan peluang untuk hidup dalam apa jua keadaan yang dilalui. Kena percaya semuanya telah tertulis. Kalau jatuh, susah… bangkit balik. Kita kena bertanggungjawab. Orang yang kita sayang kadang-kadang akan tinggalkan kita. Tak mengapa. Tapi Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Ramai lagi orang yang susah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jangan benarkan masalah menjadikan hidup kita tak keruan. Biar kita menangis sebentar dan kemudian kita dapat berjalan terus.

 

Segalanya bermula pada tahun 1995 saya balik dari buat liputan di Stadium Shah Alam. Kereta depan brek dan kereta belakang langgar saya. Saya tercampak keluar dari motokar. Masa tu injury saya di leher saja. Masih boleh berjalan tapi kesa kitan. Saya terpaksa makan ubat pain killer yang banyak.

2001, saya dipukul depan rumah mak saya sebab orang nak curi motokar. Masa dipukul, titanium di leher patah. Jadi injury lama turun ke bahagian dada. Masih makan pain killer dan waktu itu masih boleh berjalan.

2002 saya ambil barang dari almari yang tinggi. Saya jatuh dekat T10 iaitu bahagian pinggang. Ia patah dan putuskan urat saraf. Saya tak boleh merasa dan bergerak. Membuatkan saya separuh lumpuh. Setakat ini tiada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan keadaan saya tapi manalah tahu ada yang diperbaiki oleh-Nya. Kita kena selalu bersangka baik kepada Tuhan sebab di sebalik kejadian ini pasti ada hikmah.”

Saat diajukan persoalan tentang penerimaan dirinya apabila diuji sedemikian rupa, ini pengakuan jujur Ras .

“Masa tu saya tak boleh berfikir. Diri saya macam frozen. Saya menangis, tak boleh fikir, tak keruan, jadi gila. Satu setengah tahun saya cakap dengan diri sendiri, cakap dengan siling, dinding.. tak ada orang cakap dengan saya. Tak ada orang datang jumpa saya. Kawan yang saya anggap kawan, semua hilang.”

Ditanya pernahkah terbit rasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku, personaliti ini pantas menyusun bicara. “Saya tak kesal atau kecewa. Tapi saya bersyukur. Satu setengah tahun saya susah. 6 tahun saya tak bekerja, stesen saya bekerja dulu tak bagi saya bekerja. 6 tahun saya makan nasi dengan garam dan air paip. Saya susah sangat.

Sepanjang tempoh itu juga saya pernah berdoa agar Allah membawa saya pulang sebab saya tak tahu hidup sebagai OKU. Saya dah terbiasa panjat sana sini dan aktif. Tapi hari ini, saya bersyukur sebab kalau saya bukan OKU, saya tak akan dapat apa yang saya miliki sekarang. Bagi saya, kekurangan saya adalah keupayaan saya. Alhamdulillah.

Beza sekarang dan dulu adalah saya cuma tak boleh berjalan. Tapi saya tetap buat benda lain sama macam orang lain juga. Saya membersihkan rumah, mop lantai, gosok dan basuh baju, bawa kereta. Tak ada masalah. Tak ada excuse pun. Saya selalu beritahu diri agar menjaga diri sendiri. Tak akan ada orang menjaga kita selain Tuhan,” terang Ras yang menginjak usia 51 tahun.

Biarpun pergerakan sedikit terbatas, namun semua itu bukan halangan untuk tidak melakukan aktiviti kegemaran. “Saya berenang guna tangan dari pukul 4 hingga 6 pagi selama dua jam atau pukul 8 hingga 10 malam. Sebelum menembak, saya marathon jarak jauh tolak kerusi roda sejauh 490 km dalam seminggu. Kita tak tahu keupayaan dan kekuatan sehinggalah dalam keadaan seperti ini dan tak ada pilihan, kita kena bangkit. Wanita sememangnya ada kekuatan luar biasa yang tak disangka.

Ras di samping dua anaknya

Saya kena berkerja keras dan latih diri sendiri bahawa saya tak boleh harapkan orang lain. Kalau nak sesuatu, kita kena buat dan dapatkan. Perkataan mustahil itu tak akan wujud.. melainkan bagi orang yang malas. Sekarang saya lebih bersyukur dan belajar. Saya pinjam semangat kawan-kawan OKU yang lain. Sebenarnya sekarang ini saya lebih happy dari dulu. Kita reda tapi ikhtiar.

Saya mahu wanita mempercayai keupayaan diri dan percayalah perkataan mustahil tak ada. Anda boleh lakukan apa saja asalkan kuat semangat dan kerja keras. Hanya kita saja.. kaum wanita yang boleh menggoncangkan dunia,” jelasnya mengakhiri bicara.

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: nona