Masih Berbaki 9 Tahun Di Penjara Indonesia, Ini Penampilan Terkini Benjy

Pelakon Malaysia yang sedang dipenjara di Indonesia, Benjy, didakwa berdepan risiko menghidap sakit tibi jika tidak dirawat segera.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, berkata untuk membolehkan Benjy diselamatkan, anak pelakon arwah Azean Irdawaty itu memerlukan dana sebanyak RM,1000 sebulan.

“Kesihatan Benjy agak terganggu disebabkan dia mengidap asma kronik.

“Jika tidak dirawat Benjy berpotensi terkena batuk kering atau tuberculosis (tibi),” katanya melalui teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini hari ini.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Deli Serdang, Sumatera pada 18 April tahun lalu.

Dia ditahan selepas pihak berkuasa menemui 4.5 gram methamphetamine atau syabu yang disorokkan di dalam duburnya.

Benjy, 40, dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Medan selepas didapati bersalah menyeludup bahan terlarang itu pada 18 Okt tahun lalu.

Lama lagi di penjara

Selain itu, dia juga diarah membayar denda membayar sebanyak Rp800 juta (RM251,359).

Dia sedang menjalani hukuman penjara itu di Tanjung Gusta, Medan.

Presiden Seniman, Zed Zaidi, berserta Hafiz melawat Benjy di penjara itu pada 15 Dis lalu.

Hafiz menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan RM1,000 itu, RM600 daripadanya akan digunakan bagi tujuan menampung kos perubatan Benjy manakala selebihnya untuk hal-hal kebajikan.

Bagi membantu meringankan beban ditanggung Benjy, Hafiz berkata, Seniman juga bakal melancarkan Tabung Prihatin Seniman.

GAMBAR TERKINI BENJY

AKU lama lagi kat sini. So, please doakan yang kesihatan aku lebih baik sebab I need to be healthy to survive here. Doakan segala usaha aku untuk pulang dipermudah.”

Demikian nota yang ditulis pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim, 40, atau Benjy yang kini menjalani hukuman penjara 11 tahun tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia akibat kesalahan dadah.

Nota bertarikh 15 Disember 2018 yang ditujukan kepada sahabat dan rakan artis itu diserahkan kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang melawat pelakon itu pada 15 hingga 18 Disember lalu.

Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Deli Serdang Sumatera Utara pada April tahun lalu kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram dan dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan.

Zed berkata, keadaan kesihatan Benjy yang sudah menjalani hukuman hampir dua tahun itu kurang memuaskan kerana menghidap asma dan sering mengalami batuk-batuk.

“Ketika melawatnya, suasana memang sedih. Benjy jumpa saya dan peluk erat agak lama. Dia kata, kami (Seniman) orang Malaysia pertama yang melawatnya. Ketika itu juga saya dapat tahu keadaan kesihatannya agak kronik dan berpotensi untuk dijangkiti tibi,” katanya.

Zed berkata, kunjungannya ke sana dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada ramai artis berkenaan perkara ini.

“Saya dimaklumkan Benjy menghubungi mereka dan meminta bantuan kewangan terutamanya bagi membeli makanan dan kos rawatan.

“Apabila ramai artis yang buat aduan, Seniman kena ambil tindakan buat lawatan dan perlu tahu perkara sebenar. Kami tahu yang salah tetap salah, tetapi kami ke sana atas dasar keprihatinan, kemanusiaan, kebajikan dan kesihatan Benjy,” katanya yang ditemani Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah ketika melawat Benjy.

Zed berkata, keadaan kesihatan Benjy merosot kerana dia sukar mendapatkan rawatan kerana ia memerlukan kos.

“Benjy bukan warga Indonesia, jadi kos rawatannya di sana memang tinggi. Ketika di sana, kami bantu uruskan pemeriksaan rawatan dia dan bantu membeli ubat dan sebagainya.

“Ketika itu barulah hidupnya terasa berfungsi kerana sebelum itu dia kurang bercakap kerana kerap batuk berhingus dan menangis,” katanya yang banyak dibantu wakil konsulat Malaysia bagi melancarkan urusan mereka melawat Benjy.

Zed berkata, Seniman boleh membantu menguruskan lawatan mana-mana artis ke sana, namun dengan perbelanjaan sendiri.

“Sekiranya tak dapat menyumbang dari segi kewangan, memadailah dengan sokongan moral yang diberikan buat Benjy untuk terus kuat dalam penjara.

“Pakaiannya sudah dua tahun tak bertukar. Kami ada ambil gambar-gambarnya ketika dalam penjara dan berterima kasih dengan keprihatinan pihak penjara yang memberikan kebenaran,” katanya.

Menurut Zed, apa yang dilakukannya sekarang juga adalah bertujuan memenuhi amanat ibu Benjy, Allahyarham Azean Irdawaty supaya menjaga anaknya.

Dalam pada itu, Seniman akan menganjurkan Larian Amal Seniman Run 2.0 serta melancarkan Tabung Prihatin Seniman Khas Untuk Benjy.

“Sebahagian kutipan akan disalurkan kepada tabung yang bertujuan menampung keperluan Benjy sepanjang menjalani hukuman.

“Dia memerlukan antara RM500 hingga RM600 sebulan untuk kos perubatan. Sekurang-kurangnya kami dapat meringankan bebannya daripada tiada langsung,” katanya.

Sumber Artikel : MALAYSIA KINI via suaraviral

Via:hmetro

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:nalurikini