“Kalau jodoh tak ke mana”- Khai Bahar

PENYANYI Khai Bahar tidak menolak sekiranya dia dan penyanyi serta pengacara Siti Nordiana mempunyai jodoh untuk bersama sebagai pasangan kekasih.

 

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 25, berkata dia tidak kisah mengenai jarak usia kerana beranggapan semuanya bergantung pada jodoh.

 

“Orang kata la kalau dah jodoh tu tak kan ke mana kan. Jadi apa-apa pun saya tak boleh tolak jodoh atau melawan takdir tuhan yang sudah menentukan semuanya.

 

“Mana tahu, bila dah rapat lama-lama boleh terbercinta pula. Saya tak kisah mengenai jarak usia, kalau dah takdir dan kalau dah jodoh, saya terima sahaja,” kata Khai kepada mStar.

Khai ditemui ketika malam kemuncak Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME 2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam, Ahad.

 

Khai Bahar dan Siti Nordiana diumum pemenang utama Anugerah MeleTOP Era 2019.

 

Pada acara kemuncak itu, Khai diumumkan sebagai Top Top MeleTOP (Lelaki) dan turut membawa pulang trofi anugerah Penyanyi MeleTOP.

Tambah Khai lagi, dia mengakui mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Siti Nordiana memandangkan mereka kerap meluangkan masa bersama.

 

Bagaimanapun hubungan penyanyi lagu Bayang itu dengan Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana tidak melebihi seperti adik dan kakak sahaja.

 

“Saya memang rapat dengan Kak Nana. Kami pun selalu juga keluar makan bersama. Tapi buat masa sekarang ni hubungan kami macam adik dan kakak sahaja,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Khai menganggap kemenangan di AME 2019 merupakan usaha gigih peminat yang menyayanginya sehingga membuatkan dia berasa lebih semangat untuk  buat yang terbaik dalam industri seni.

 

“Tiada istilah saya hebat tapi yang hebat itu adalah peminat-peminat saya. Mereka berusaha untuk mengundi saya setiap hari tanpa henti.

 

“Saya percaya mereka semua menyayangi saya menyebabkan saya rasa lebih bersemangat untuk meneruskan karier dalam bidang seni tanah air,” katanya.

 

Selain Khai, Siti Nordiana juga memenangi anugerah sama iaitu Top Top MeleTOP bagi kategori Wanita dan Hos MeleTOP bagi AME 2019.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar