“PERTEMUAN Aiman bersama ibu saya hanya untuk mengenali antara satu sama lain,” kata pelakon Zahirah Macwilson mengenai perjumpaan Aiman dengan ibunya Maslinda Yusoff baru-baru ini. Zahirah menjelaskan, tiada perbincangan untuk melangkah ke fasa seterusnya termasuk bertunang dalam pertemuan itu.
“Tiada apa-apa yang dibincangkan sebaliknya sekadar berkenalan. Belum ada apa-apa perkhabaran ke arah itu (bertunang),” katanya ringkas.
Menurut Zahirah, Aiman tidak kekok bertemu dengan ibunya malah semuanya berlangsung dalam suasana yang cukup baik.
“Semua okay. Aiman tak kekok ketika berbual dengan ibu saya.
“Maaf, saya tidak boleh bercakap lama kerana sedang menjalani penggambaran drama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro sebentar tadi.
Dalam pada itu, ibu Zahirah meluahkan rasa gembira di akaun Instagram kerana teruja melihat kebahagiaan anaknya di samping Aiman.
“Tiga hari meluangkan masa bersama, saya nampak kebahagiaan kalian berdua. Allah menciptakan hamba-Nya berpasang-pasangan dan kalian saling melengkapi.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan dan memberkati kalian dengan ketabahan dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” tulisnya.
Sumber:Harian Metro