Pak Nil sedih koleksi baju melayu jadi bahan gurauan

KUALA LUMPUR – Baju Melayu rekaan hos terkemuka, Datuk Aznil Nawawi menjadi bahan gurauan warga net kerana menggunakan sampin yang berwarna sama dengan warna baju.

Hal itu menjadi tular apabila Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil mempromosi Baju Melayu hasil kerjasama dengan pereka fesyen, Razman Razmi yang diberi nama Raznil di laman Instagramnya.

“Sedih juga apabila baju saya dijadikan bahan gurauan. Sampin berwarna sama dengan baju itu saya beri percuma sahaja kerana mengenangkan ia pernah dipakai oleh idola saya, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

“Kalau tak suka sampin berwarna, saya beri percuma sampin songket dengan setiap pembelian. Senang, supaya semua ada pilihan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Pak Nil turut memberitahu dia tidak mahu memanjangkan hal ini kerana sekarang bulan puasa yang tidak memerlukan isu remeh seperti ini.

“Orang baling batu, saya balas bunga. Selesai dan takda masalah,” tuturnya lagi.

 

 

 

Sumber:Kosmo