TEMERLOH – Kebiasannya ikan diternak di dalam kolam mahupun sangkar namun berbeza dengan inisiatif yang diambil oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin di sini.
Longkang sepanjang 90 meter yang berada berhampiran balai itu menjadi lokasi memelihara ratusan ikan pelbagai spesies antaranya patin, tilapia dan keli.
Difahamkan balai terbabit satu-satunya BBP yang ada negara ini melakukan usaha menternak ikan di dalam longkang.
Airnya yang jernih dan persekitaran yang bersih itu menjadikan ia satu tarikan di balai yang menempatkan 49 anggota itu.
Ketua BBP Bukit Angin, Penolong Penguasa Bomba,Hasnuddin Husin berkata, usaha menternak ikan itu telah dijalankan sejak tahun lalu.
Menurutnya, idea tercetus hasil visi mantan Ketua Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Seri Wan Mat Noor Ibrahim yang mahukan kemudahan di setiap balai dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Usaha ini mendapat kerjasama Jabatan Perikanan yang membantu dari segi benih ikan selain kami sendiri mengutip dan mengumpul wang antara anggota sendiri bagi tujuan membeli makanan ikan.
“Dan sudah pasti projek ini dijayakan dengan komitmen anggota yang berusaha menjaganya sebaik mungkin,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya,usaha itu juga membantu balai terbabit mengelakkan pembaziran kerana sumber makanan boleh diperolehi dengan mudah.
“Kini ikan ada boleh dimasak oleh anggota di sini bila ada majlis tanpa perlu pergi ke pasar.
“Selain ikan kami juga boleh mendapatkan pelbagai sayur-sayuran dan herba yang ditanam di sekeliling balai,” katanya.
Ujarnya, setiap sebulan sekali anggota melakukan aktiviti pembersihan di longkang itu untuk memastikan kebersihannya terjaga rapi.
Tambahnya, sokongan yang diberikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad juga membantu kejayaan projek tersebut selain kerjasama padu setiap anggota di balai terbabit yang mula beroperasi pada 2014.
Wow,cayalah!
Sumber:Sinar Harian