Sempena Olimpik 2020, Jepun Perkenal Masjid Bergerak Untuk Kemudahan Muslim, Boleh Muatkan 50 Jemaah Sekali Gus

Pada dasarnya, masjid ini hanyalah sebuah trak 25 tan.

Namun ia telah diberi pengubahsuaian di mana trak ini boleh ‘dikembangkan’ bagi menambah keluasan untuk membolehkan 50 orang jemaah untuk solat pada satu masa.

Masjid ini dilengkapi kemudahan paip air untuk mengambil wuduk, penentu arah kiblat, dan dewan solat yang selesa dan berhawa dingin.

Trak 25 tan itu diubah suai menjadi masjid bergerak untuk memberi kemudahan umat Islam menunaikan solat sepanjang berlangsungnya temasya Sukan Olimpik 2020.

Masjid bergerak pertama yang diperkenalkan minggu lalu itu mempunyai keluasan 48 meter persegi dan boleh memuatkan 50 jemaah pada satu masa.

Al-Jazeera melaporkan, badan trak terbabit diubah suai dan boleh ditarik keluar untuk menjadikan saiznya lebih lebar serta boleh ditempatkan di lokasi berbeza mengikut keperluan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yasu Project, Yasuhara Inoue, dia bimbang kemudahan itu mungkin tidak mencukupi untuk umat Islam terutama apabila negara itu menganggap dirinya sebagai sebahagian daripada komuniti antarabangsa.

“Sebagai negara yang terbuka dan ramah, kami ingin berkongsi idea ‘omotenashi’ (hospitaliti Jepun) dengan orang Islam,” katanya dalam satu temuramah baru-baru ini.

Inoue berkata, dia mendapat idea untuk membangunkan projek itu ketika menghadiri lawatan ke Qatar empat tahun lalu. Katanya, mereka pada mulanya menyasarkan untuk menyediakan kemudahan itu di acara sukan di Jepun dan luar negara.

“Saya pasti berasa gembira sekiranya rakyat Indonesia, Malaysia, Afrika, Asia Barat serta pelarian dari Syria dapat menggunakan masjid ini sebagai satu usaha mempromosikan keamanan dunia,” katanya.

Manakala NHK melaporkan, trak yang menelan belanja AS$900,000 (RM3.65 juta) itu turut dibangunkan bersama pengeluar kereta di Yanai, wilayah Yamaguchi.

Firma itu turut dibantu pelajar luar negara di Universiti Yamaguchi yang memberi nasihat dan menguji trak berkenaan.

 

 

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: HMetro