Tahniah! Eizlan Yusof Kini Bergelar Suami Kepada Natasha Rosa Boudville

Setelah seminggu berteka-teki menyembunyikan wajah kesayangan’ bakal isteri daripada peminat dan media, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Seri Eizlan Yusof, akhirnya wajah misteri gadis jelita berusia 29 tahun yang berjaya membuka pintu hati duda tampan ini menjadi tatapan umum dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung hari ini.

Eizlan kini sah bergelar suami kepada Datin Seri Natasha Rosa Boudville dengan sekali lafaz dalam majlis penuh istiadat yang cukup meriah di The Glass Suite, Boraombak, Marina Putrajaya, tepat jam 3.30 petang tadi.


Pasangan itu dinikahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Persekutuan, Kolonel Bersekutu (PA) Tuan Haji Mohd Ajib Ismail dengan disaksikan hampir 100 tetamu termasuk ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan para pegawai tetap serta bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Natasha menerima mas kahwin RM80 dan sebentuk cincin berlian, selain wang hantaran berjumlah RM12,121.90.

 

 

Gadis berketurunan Serani yang memeluk Islam pada Ogos tahun lalu itu, turut menerima tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang daripada pihak lelaki.

Sebelum upacara akad nikah, Eizlan diarak menyeberangi tasik Marina Putrajaya menaiki bot APM diiringi beberapa pegawai tertinggi dan bersekutu APM.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan upacara berbalas pantun dari kedua-dua pihak sebagai sebahagian daripada kemeriahan adat tradisi Melayu dalam perkahwinan.

“Sejujurnya banyak elemen kejutan yang dirahsiakan dari saya sendiri tetapi disediakan rakan-rakan strategik dalam menjayakan majlis pada hari ini.

“Saya sangat terharu dengan sokongan mereka yang sudi menjadikan majlis pada hari ini sangat meriah,” kata Eizlan.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang melancarkan majlis berkenaan, terutamanya kepada CDERT Ohhsem Network, Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISB), BoraOmbak Putrajaya, CST Production, MAROZ Tailoring Sdn Bhd dan Melur Putih.

Tidak lupa juga kepada Koperasi Al Najah, Glambooth.my, Missora Voi Bridal, Lajen, ZaMoA, HennaByDyana, Bollywood Rental by NF, Qiszar dan banyak lagi.

“Masing-masing memainkan peranan mereka bagi memastikan setiap majlis pada hari ini sehingga Sabtu ini, berjalan lancar,” katanya terharu.

Majlis resepsi pasangan ini bakal diadakan pada esok, 13 Disember 2019 di Ballroom, Boraombak Marina Putrajaya bermula jam 8.30 malam.

Pada malam resepsi, Eizlan dan Natasha bakal diberi penghormatan istiadat penuh APM antaranya perarakan ‘sword bearer’ (Silang Pedang) oleh barisan pegawai bersekutu APM, pancaragam ‘bagpipe’ dan persembahan pancaragam APM.

Antara tetamu yang dijangka hadir ialah Kerabat Diraja, selain barisan pegawai tertinggi dari APM, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Paskal, Polis Diraja Malaysia, RELA Malaysia, pemimpin negara dan tokoh industri.

Majlis perkahwinan Eizlan dan Natasha juga dianggap sebagai ‘Wedding of the Year 2019’ kerana berlangsung sejak semalam selama empat hari berturut-turut yang menelan kos lebih RM 1 juta, bermula dengan Malam Berinai bertemakan Bollywood di Vila GISB, Presint 16, Putrajaya, semalam.

Majlis terakhir pasangan ini akan berlangsung pada hari ke-empat yakni pada Sabtu, 14 Disember 2018 jam 8.30 malam di Boraombak, Marina Putrajaya, bagi meraikan rakan-rakan penaja strategik, APM dan rakan-rakan media yang banyak memberi sokongan padu selama majlis berlangsung.

 

 

Sumber:KopiPlanet