Panduan Solat Rawatib (Qabliyyah dan Ba’diyyah)

Solat sunat Rawatib adalah solat sunat yang dikerjakan sebelum dan selepas menunaikan solat fardhu.

Oleh itu, solat sunat Rawatib juga dikenali sebagai solat sunat Qabliyyah (sebelum) dan solat sunat Ba’diyyah (selepas).

Solat sunat Rawatib boleh menampung kekurangan ketika melakukan solat fardhu. Ia juga secara tidak langsung melengkapkan solat fardhu kita.

Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan).

Adapun tentang jumlah rakaat solat rawatib yang mu’akkad, telah tsabit hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ. Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Sahih Muslim (728)

Dalam hadith yang lain dijelaskan pula perincian solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang disebut dalam hadith di atas.

Daripada Ummu Habibah R.’Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ. Maksudnya: Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.

Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. Sunan Tirmidzi (380) dan Sunan Ibn Majah (1196)

Melalui riwayat Ibnu ‘Umar R.A pula menunjukkan jumlah rakaat solat rawatib adalah sepuluh. Beliau berkata: حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

Maksudnya: Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. Sahih al-Bukhari (1180)

Dari sini dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan kedua-dua jumlah rakaat iaitu dua belas mahupun sepuluh rakaat solat sunat rawatib.

Perbezaan tersebut adalah disebabkan oleh perbezaan jumlah rakaat ketika melaksanakan solat qabliyah Zohor.

Para ulama Syafi’iyyah umumnya telah memilih pandangan bahawa bilangan rakaat rawatib yang mu’akkad ialah sebanyak 10 rakaat.

Ini sebagaimana yang termaktub dalam Matan Zubad ibn Ruslan, iaitu antara matan asasi dalam fiqh mazhab Syafi’e: ثنتان قبل الصبح، والظهر كذا…… وبعده، ومغرب، ثم العشا

Maka kita simpulkan di sini solat-solat sunat rawatib yang mu’akkad ialah:

 

  • Dua rakaat sebelum Subuh
  • Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
  • Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
  • Dua rakaat selepas Maghrib
  • Dua rakaat selepas solat Isya’ (Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 284 dan Matla’ al-Badrain, 1/132)

SOLAT RAWATIB GHAIRU MU’AKKAD Solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad pula ialah:

  • Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
  • Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
  • Empat rakaat sebelum Asar
  • Dua rakaat sebelum Maghrib
  • Dua rakaat sebelum Isya (Rujuk Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 285 dan Matla’ al-Badrain, 1/132-133)

Tiada solat sunat selepas solat fardhu Subuh. Begitu juga adalah haram mengerjakan solat sunat selepas solat Asar hingga terbenam matahari.

Walau bagaimanapun, solat sunat yang lain seperti Tahiyyatul Masjid, solat gerhana, solat qada’, solat jenazah dan sebagainya masih boleh dilakukan pada waktu yang dilarang itu.

Cara-cara mengerjakan solat sunat Rawatib adalah seperti berikut:

#1 – Niat Menurut Solat

#2 – Tidak Memerlukan Azan Dan Iqamat

#3 – Dilakukan Bersendirian Atau Tidak Berjemaah

#4 – Bacaannya Tidak Dinyaringkan

#5 – Jika Lebih Daripada 2 Rakaat, Tiap-Tiap Dua Rakaat Mestilah Dengan Satu Salam

#6 – Sebaik-Baiknya, Solat Sunat Ba’diyyah Dilakukan Di Tempat Yang Lain Dari Tempat Solat Fardhu Yang Dilakukan Sebelumnya

Fadhilat solat sunat Rawatib ini ada dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ibnu Umar r.a berkata;

“Pernah saya solat bersama Rasulullah s.a.w dua rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sesudah Zohor dan dua rakaat sesudah solat Jumaat dan dua rakaat sesudah Isyak.”Riwayat Bukhari dan Muslim

Solat sunat sebelum Subuh juga ada disebut fadhilatnya oleh Nabi Muhammad s.a.w. Daripada Aisyah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda;

“Dua rakaat fajar (solat sunat yang dikerjakan sebelum Subuh) itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” Riwayat Muslim

Solat sunat Qabliyyah bagi waktu Zohor dinamakan juga sebagai sunat Muakkad iaitu sunat yang amat digalakkan.

Berikut adalah niat solat sunat Rawatib bagi setiap waktu solat fardhu;

#1 – SUBUH
Niat Solat Fajar Sebelum Subuh

“Sahaja aku solat sunat Fajar dua rakaat kerana Allah Taala.”

#2 – ZOHOR
Niat Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Zohor

“Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala.”

Niat Solat Sunat Dua Rakaat Selepas Zohor

“Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala.”

#3 – ASAR
Niat Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Solat Asar

“Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Taala.”

#4 – MAGHRIB
Niat Solat Sunat Dua Rakaat Sesudah Maghrib

“Sahaja aku solat sunat sesudah Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.”

#5 – ISYAK
Niat Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Solat Isyak

“Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.”

Niat Solat Sunat Dua Rakaat Selepas Solat Isyak

“Sahaja aku solat sunat sesudah Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.”

 

 

 

Semoga bermanfaat. Selamat beribadah.

 

 

 

 

Sumber:tazkirah, jabatan mufti