Sanggup naik motor dari Cheras ke Cherating bersama bayi 6bulan demi melawat bapa yang sedang sakit

“TERBAYANG-BAYANG wajah bayi comel yang senyum ketika sedang isi minyak kereta, itu yang membuatkan saya dan isteri sepakat mencari mereka”

Demikian perkongsian saudara  Talha Sebri, menceritakan peristiwa bagaimana dia terserempak dengan sepasang suami isteri muda bersama anak kecil ketika dia bersama keluarga dalam perjalanan pulang ke Kerteh, Terengganu, baru-baru ini.

Mengimbas kembali peristiwa itu, menurut Talha, sewaktu berhenti untuk mengisi minyak kereta di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Temerloh, dia terpandang bayi comel yang dikendong ibunya bersebelahan sebuah motosikal.

Ketika itu, suami wanita berkenaan sedang mengisi minyak motosikal mereka.

Menurut Talha, hati kecilnya terdetik perasaan simpati lantaran melihat sepasang suami isteri yang kelihatan berusia awal 20-an itu menunggang motosikal bersama bayi yang masih kecil.

Perkongsian Talha mengenai kisah sepasang suami isteri muda yang ditemuinya baru-baru ini.

“Pada mulanya saya berhasrat menegur mereka, sekadar mahu bertanyakan arah destinasi mereka memandangkan jam ketika itu menunjukkan pukul 6.20 petang.

“Tapi belum sempat saya berbuat demikian, mereka terlebih dahulu bergerak. Sebaik sahaja selesai mengisi minyak, saya pun bercerita kepada isteri mengenai apa yang saya lihat tadi.

“Rupa-rupanya, isteri pun perasan kelibat bayi comel itu lalu kami pun sepakat nak cari mereka. Ketika keluar dari RnR Temerloh dan meneruskan perjalanan, tak lama kemudian kami terjumpa kembali tiga beranak itu.

“Saya perlahankan kereta, turunkan cermin tingkap dan tanya destinasi mereka.

Alangkah terkejutnya saya apabila mereka kata mahu ke Cherating. Saya kemudian pelawa untuk tumpangkan isteri dan bayi mereka sehingga Jabor, tapi si suami menolak,” kata Talha ketika dihubungi mStar.

Suami isteri itu membawa bayi mereka yang berusia enam bulan menunggang motosikal dari Cheras ke Cherating demi menziarahi orang tua yang sedang sakit.

Bercerita lebih lanjut, Talha berkata dia meneruskan perjalanan namun dengan kelajuan yang sederhana, sambil dalam mindanya masih lagi memikirkan keadaan keluarga kecil tadi.

“Tapi saya tak sedap hati… lalu saya perlahankan kereta menunggu motosikal mereka saing di sebelah. Lalu sekali lagi saya pelawa. Ketika itu isteri saya yang duduk di bahagian belakang turunkan tingkap dan turut sama memujuk.

“Akhirnya si suami akur benarkan isteri dan anaknya tumpang kereta saya. Saya bawa perlahan sahaja supaya suaminya yang menunggang motosikal tidak ketinggalan.

Dalam perjalanan, si isteri perkenalkan dirinya sebagai Fatin. Mereka dari Cheras menuju Cherating untuk menjenguk bapa mentuanya yang diserang str0k.

“Kata Fatin,  mereka terpaksa naik motor sebab belum mempunyai kereta. Nak sewa kereta pula, keadaan kewangan tak begitu mengizinkan. Nak naik bas, tapi bimbang tak sempat… sebab tu terpaksa naik motor,” cerita Talha yang menetap di Kerteh sejak enam tahun lalu. 

Menurut Talha, hatinya tersentuh apabila melihat kecekalan dan kesanggupan suami isteri muda itu yang sanggup menaiki motosikal semata-mata mahu menjenguk orang tua mereka yang sedang saakit.

“Si isteri baru berusia 20 tahun bekerja sebagai tele-marketing di sebuah bank, manakala si suami yang bernama Badrul Amin pula baru berusia 21 tahun dan bekerja sebagai tukang masak.

“Dalam usia muda dan baru berkeluarga, pastinya mencabar untuk membina kehidupan di ibu kota. Tapi saya tabik sangat dengan mereka. Walau susah macam mana pun, sanggup pulang jenguk ayah yang saakit,” katanya yang bekerja di sektor swasta.

Talha menumpangkan dua beranak itu sehingga tiba di kampung mereka di Cherating.

Bercerita lebih lanjut, kata Talha, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menumpangkan Fatin dan bayinya yang berusia enam bulan sehingga ke Cherating kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Sampai sahaja di sana, si suami memeluk saya dan ucapkan terima kasih berkali-kali. Tapi saya terkilan kerana terlupa untuk mengambil nombor telefon mereka.

“Apa yang berlaku hari itu benar-benar pengajaran yang berharga buat saya. Ada hikmahnya Allah gerakkan hati untuk isi minyak di Temerloh.

Antara komen netizen yang memuji tindakan Talha menumpangkan dua beranak tersebut.

“Saya post di laman sosial hanya untuk kongsi pengalaman. Ada yang beri komen positif. Ada juga yang beri komen negatif, persoalkan tindakan suami isteri itu bawa anak kecil naik motor.

“Iya, memang bahaya. Tapi kita tak boleh hakimi sesuka hati. Cuba letakkan diri kita dalam situasi mereka. Mereka ada alasan tersendiri.

Mereka sanggup naik motor jauh-jauh nak tengok ayah sakit, tapi kita ni belum tentu lagi mahu buat benda yang sama.

“Dalam masa yang sama, tujuan saya post kerana mahu cari mereka kembali. Mohon siapa yang mengenali pasangan ini dan terbaca posting itu, hubungi saya kerana saya ingin bertemu mereka lagi,” katanya mengakhiri bicara.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar