Cincin di jari manis Mira Filzah seakan beri ‘bayangan’ pelakon pujaan ramai ini telah dirisik

Baru-baru ini, pelakon popular Mira Filzah mengakui dia kini sedang mengenali hati budi seorang lelaki yang bukanlah dari kalangan industri hiburan, iaitu Wan Emir Astar.

Cinta hatinya itu, bukan calang-calang orangnya kerana beliau merupakan seorang arkitek yang memiliki firma seni bina serta perniagaan sendiri dan juga anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, YB Datin Mastura Mohd Yazid.

Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan Mira sudah dirisik dan bakal bertunang pada September tahun ini. Namun, dia menafikannya dan mengatakan hubungan mereka belum serius dan masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

Bagaimanapun, melalui satu muatnaik di Facebook rasmi Datin Mastura, dia seakan memberikan bayangan bahawa anaknya sedang melalui fasa baru dalam kehidupan.

Mungkin juga Wan Emir sudah merisik Mira sebagai suri hidupnya dan bakal bertunang tidak lama lagi?

Malah, satu sumber terdekat turut memuatnaik foto Mira memakai sebentuk cincin yang kemungkinan cincin merisik di jari manisnya dengan ucapan tahniah.

Difahamkan, Wan Emir merupakan teman rapat Mira sewaktu zaman belajar dahulu.

Bagaimanapun, hubungan mereka terputus selepas lelaki itu melanjutkan pelajaran di luar negara.

Mira sehingga kini enggan mengulas lanjut mengenai kisah peribadinya demi menjaga hati kedua-dua belah keluarga.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber:myartis