“Kalau dalam keadaan bebas belum tentu saya buat itu semua!” “

Dua bulan setengah menjalani hukuman penjara merupakan antara momen dan detik paling berharga dalam hidup pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari.

Menurut Farid, 38, sepanjang tempoh tersebut dia mendekatkan diri dengan Allah dan berpeluang mempertingkatkan ibadah agama.

“Di dalam setiap keburukan pasti ada kebaikan… ia satu pengalaman baharu yang sukar diterjemahkan dan saya terharu apabila mereka di sana menerima saya dengan begitu baik.

“Mereka tahu dan kenal saya, jadi mereka beri sokongan serta semangat untuk saya terus bangun dan berjaya.

“Di dalam penjara itu, saya buat benda yang saya tak pernah buat contohnya bangun untuk solat tahajud dan saya berjaya khatam Al-Quran dalam masa 30 hari. Kalau dalam keadaan bebas belum tentu saya buat itu semua!” katanya kepada mStar.

Isteri dan anak penguat semangat Farid

Pada pertengahan November 2019, Farid diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei tahun sama dan dia menjalani hukuman itu di Penjara Kajang, Selangor.

Dia kemudiannya dibenarkan menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya sehingga selesai rayuan.

Farid juga berkata sejarah hitam yang berlaku itu membuka ruang untuk dirinya memperbaiki diri dan menjadi individu yang baik pada masa akan datang.

Meskipun berasa sedih dengan apa yang berlaku, namun dia mengambil pengajaran itu dari sudut positif.

 

Dia juga bersyukur kerana diberi kesempatan bertaubat dan mengalami pengalaman yang tak semua orang dapat merasainya.

“Mungkin tuhan nak tunjukkan sesuatu tetapi dalam keadaan sedemikian supaya hidup saya jadi lebih baik pada masa akan datang.

“Saya akui ada masa rasa sedih, terkilan dan rasa diri terbuang jauh sebab hal yang menimpa ini tapi bila fikir balik, ini salah satu ujian untuk saya berada di sini sekarang,” ujarnya.

Farid turut bersyukur kerana dikurniakan isteri, Datin Diana Danielle yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya sepanjang dia melalui detik hitam tersebut.

“Alhamdulillah, Diana sangat supportive… sejak awal perkenalan sampailah ditimpa malapetaka itu dia masih bersama saya.

“Dia dan anak-anak menjadi kekuatan untuk saya menghadapi masa-masa mendatang ini, betapa beruntungnya saya memiliki isteri bernama Diana Danielle,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, filem Remp-it 2 sudah selesai menjalani penggambaran dan dijangka akan ditayangkan pada Ogos depan.

 

 

 

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: mstar