Penyanyi terkenal Aizat Amdan bakal mengadakan satu promosi untuk peminatnya yang akan berkahwin dalam tempoh terdekat ini.
Menurut Aizat, dia akan membuat persembahan di majlis perkahwinan kepada mereka yang bertuah secara percuma.
“Assalamualaikum, anda inginkankan penyanyi majlis perkahwinan anak / kakak/ adik / abang / makcik /pakcik / nenek / atuk / sedara / sepupu? Silakan isikan detail di highlights saya,” tulis Aizat pada satu entri di Instagram miliknya.
Ketika dihubungi Gempak, Aizat memberitahu ianya juga sempena promosi single terbarunya yang bertajuk ‘Waktu’.
“Secara jujurnya Aizat tak tahu berapa undangan perkahwinan yang Aizat akan pergi, tetapi yang pastinya bukan sekadar di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
“Satu perkara lagi, jangan ingat untuk perkahwinan Melayu sahaja. Apa juga perkahwinan yang terpilih nanti, pasti Aizat akan datang dan hiburkan secara percuma,” jelas Aizat lebih lanjut.
Namun begitu, dia tidak mahu promosi ini mengambil masa yang terlalu lama sehingga tidak dapat melakukan pekerjaan lainnya.
“Paling lewatpun, mungkin sehingga bulan April sahaja apatah lagi selepas itu kita akan berpuasa dan menyambut hari lebaran.
“Projek ini memang merupakan salah satu promosi single Aizat yang dilancarkan pada 22 Januari lalu,” kata Aizat.
Kalau anda berminat, jangan lupa untuk ke Instagaram Aizat Amdan untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut.
Sumber: gempak