Demi cintanya yang mendalam terhadap al-Quran, seorang pemuda yang juga kurang upaya fizikal tetap mahu mengajar kanak-kanak mengaji meskipun dalam keadaan terlantar.
Bukan seorang atau dua anak murid malah Mohamad Azfar Mohd Yusuf, 31, mengajar 42 kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun di rumahnya.
Mohamad Azfar yang lebih mesra dipanggil ustaz itu berkata, biarpun sudah lebih 10 tahun mengajar al-Quran, namun proses pembelajaran dan menambah ilmu tetap diteruskan dengan memanggil guru agama ke rumah bagi memantapkan penguasaan.
“Dari kecil saya memang minat nak jadi ustaz tetapi pada masa itu saya tak pandai mengaji al-Quran cuma disebabkan minat saya dapat menjadi seorang pengajar selepas belajar daripada beberapa orang guru agama yang dipanggil ke rumah bagi sesi pembelajaran secara perseorangan.
“Dari mula mengajar 10 orang anak murid pada 2005, saya seronok kerana boleh sampaikan ilmu supaya berkembang dan masyarakat sekeliling dapat mengutip ilmu serta menambah kefahaman tentang al-Quran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ria di sini.
Bagi menarik perhatian murid, Mohamad Azfar yang juga bekas murid Sekolah Kebangsaan Sungai Petani dan Maahad Tahfiz Kampung Huda sering memberi hadiah untuk dijadikan pembakar semangat selain galakan terus mencintai al-Quran.
“Untuk peningkatan prestasi, kita kena selalu hargai mereka atau beri hadiah seperti permainan, bahan bacaan, aiskrim atau apa-apa yang mereka suka. Melalui cara ini, mereka memberikan perhatian dan akur dengan arahan memandangkan saya tidak mampu bergerak.
“Bagi memudahkan pembelajaran, saya minta bantuan murid lebih berusia untuk mengawal adik-adik yang lain agar tidak bising atau minta mereka beri tumpuan semasa saya mengajar,” katanya.
Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik itu bersyukur kerana bukan sahaja diberi kepercayaan oleh ibu-bapa yang menghantar anak-anak belajar mengaji dengannya malah dia peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat sekali gus menambah rakan dan kenalan.
“Disebabkan jumlah pelajar ramai, saya mengehadkan sesi belajar yang dibahagikan mengikut jam dan hari tertentu. Saya juga mengajar orang dewasa dari seluruh negara yang hubungi melalui panggilan telefon dan WhatsApp bagi memperbetulkan bacaan al-Quran.
“Saya berharap usaha saya ini menjadi inspirasi kepada semua selain berazam untuk meningkatkan ilmu serta pengetahuan dalam memantapkan penguasaan al-Quran,” katanya.
Sumber:SinarHarian