Fasha perjelas tak pernah umum apa-apa, namun minta peminat doakan yang baik-baik

Elak peminat keliru! Jika diperhatikan, pelakon Fasha Sandha mula tampil dengan imej bertudung sepanjang Ramadan tahun lalu.

Bagaimanapun, isteri kepada Aidil Aziz itu dilihat ‘togel’ ketika bercuti bersama keluarganya di Pulau Pinang baru-baru ini.

Dan semalam, menerusi laman Instagramnya, ibu tiga anak tersebut memuat naik vi­deo yang memaparkan sekali lagi dia tidak bertudung menari bersama suaminya berlatar belakangkan lagu viral Kopi Dangdut.

Dan akhirnya pelakon itu membuat penjelasan selepas menerima banyak maklum balas daripada peminatnya yang bertanyakan tentang imejnya yang dikatakan sudah tidak memakai tudung.

Fasha, 36, berkata, dia mula mengenakan hijab sejak Ramadan tahun lalu dan ia merupakan satu bentuk proses pembelajaran ke arah yang lebih baik.

“Saya tidak pernah cakap saya sudah bertudung sepenuhnya. Sama juga seperti beberapa selebriti lain yang berhijab semasa bulan Ramadan.

“Begitu juga dengan saya, perlahan-lahan belajar. Bukan untuk memenuhi kehendak netizen atau trend, tetapi kerana diri sendiri.

“Saya belajar. Alhamdulillah ada orang komen tentang isu ini. Terima kasih sebab mendoakan saya yang baik-baik. Amin, doakan saya ya,” katanya membalas komen seorang peminat di laman Instagramnya.

Fasha dilihat turut memakai tudung semasa Ramadan tahun ini semasa sarat hamil Aisha Amaira yang kini berusia dua bulan hasil perkahwinan bersama Aidil.

Semoga suatu hari nanti Fasha akan terbuka hati untuk menutup aurat sepenuhnya. 

 

 

 

 

 

 

Sumber:Kosmo