Ini tindakan yang yang bakal dikenakan terhadap Illi Najwa Saddique

Kerajaan akan memanggil wanita kelahiran Malaysia, Illi Najwa Saddique yang berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, wanita itu akan dipanggil sekembalinya ke Malaysia.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berhubung status agama wanita berkenaan.

Setakat ini, dia difahamkan Illi masih seorang Muslim dan tiada permohonan diterima untuk menukar agama dan suaminya itu dikatakan telah memeluk Islam akhir tahun lalu.

“Bagaimanapun, perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri,” katanya.

Rabu lalu, Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique yang beragama Islam.

Pasangan itu sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi perkahwinan diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa kelihatan menawan dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Mengulas lanjut, Marzuk bagaimanapun berkata, majlis resepsi yang diadakan itu bercanggah dengan ajaran Islam kerana terdapat unsur agama lain.

“Kita memahami kegusaran masyarakat berhubung perkara berkenaan kerana ia agak sensitif. Bagaimanapun, setakat ini kita bersangka baik dan mengandaikan wanita itu masih Islam,” katanya.

 

 

 

 

Sumber:HM