Vokalis Floor 88, Ayie perkenalkan bakal isteri, bertunang Sabtu ini

Selepas tiga tahun menjalinkan hubungan cinta, vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 23, atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah akan melangsungkan pertunangan bersama cinta hatinya, Tasha Awie, Sabtu ini.

Tasha, 22, yang juga rakan kongsi perniagaan kafe yang diusahakan iaitu Ayie Elham Cafe di Setapak disifatkan Ayie cukup istimewa dalam hidupnya.

Ayie berkata, dia enggan menunggu lebih lama, malah mahu menghalalkan hubungan itu secepat mungkin.

“Pada tahap saya sudah benar-benar mengenali hati budi dan melabur duit untuk mengemudi perniagaan kafe, saya yakin Tasha bukan gadis biasa.

“Biarpun usia masih muda, namun secara peribadi, saya melihat banyak ciri-ciri terbaik dalam dirinya. Tiga tahun saling mengenali dianggap waktu yang singkat, tetapi saya melihat Tasha mempunyai visi dan misi masa depan.

“Sebab itulah saya mahu bawa perhubungan cinta ke arah lebih baik. Kami sedia memikul tanggungjawab baru pada hari bahagia menjelma,” katanya.

Jejaka kelahiran Sabah itu berkata, Tasha cukup memikat hati, selain mempunyai kemanisan tersendiri.

“Banyak saya lihat dalam dirinya tiada pada gadis lain. Senyuman manisnya juga memikat hati, selama ini.

“Lebih bermakna, Tasha ada bersama saya, saat susah dan senang,” kata Ayie yang turut berbakat sebagai pelakon.

Penyanyi lagu Zalikha, Aqilah dan Hutang itu berkata, dia seboleh-bolehnya mahu mempercepatkan hari bahagianya dengan Tasha.

“Kami merancang mendirikan rumah tangga pada 2021. Cuma, belum ada tarikh yang ditetapkan. Insya-Allah, kami mahu mempercepatkan perkahwinan.

“Cuma, dalam situasi p4ndemik COVID-19, banyak perkara yang perlu difikir dan dipertimbangkan,” katanya yang teruja apabila lagu Hutang dipilih ke peringkat Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) pada Februari, tahun depan.

Majlis pertunangan Ayie dan Tasha akan berlangsung di sebuah premis acara bertemakan warna putih bagi lelaki dan merah hati untuk pihak wanita. Ia diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ket4t.

 

 

 

 

 

 

Sumber:BH