“Di masa akan datang, rakyat akan hidup dengan RM41 sebulan, “CEO KWSP jelaskan apa bakal berlaku jika pengeluaran akaun 1 diteruskan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan sebanyak 43 peratus atau 5.38 juta ahli nya di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun satu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, ini bermakna mereka akan menjalani kehidupan persaraan dengan pendapatan kurang daripada RM41 sebulan sepanjang tempoh 20 tahun sekiranya simpanan mereka tidak bertambah.

“Umum mengetahui purata jangka hayat rakyat Malaysia kini menjangkau usia 75 tahun, namun KWSP terus mengekalkan pengeluaran bagi akaun satu pada usia 55 tahun. Jadi ada tempoh selama 20 tahun lagi selepas persaraan.

“Selain itu, sebanyak 54 peratus atau 137,000 daripada 245,000 ahli berumur 54 tahun pada 2020 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dan bakal menjalani kehidupan persaraan dengan pendapatan hanya RM200 sebulan bagi tempoh 20 tahun,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat KWSP.

Menurut beliau, data KWSP menunjukkan jumlah berkenaan sangat jauh daripada paras kemisikinan negara iaitu RM2,208 untuk isi rumah dan RM2,450 untuk perbelanjaan asas seorang warga emas seperti dinyatakan dalam kaji selidik oleh Social Wellbeing Research Centre.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada akaun satu secara bersasar sebanyak RM500 setiap bulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan untuk meringankan beban seramai kira-kira 600,000 ahli yang terjejas sumber pendapatan aki-bat covid19. 

Tunku Alizakri meminta pencarum menjadikan pengeluaran caruman KWSP akaun satu sebagai langkah terakhir sekiranya terdapat kaedah lain bagi membantu keka-ngan kewangan yang dihadapi ketika ini.

“Pertama buat anggaran perbelanjaan ketika ini dengan tidak meletakkan keperluan semasa terlebih dahulu berbanding kehendak. Lihat juga kepada bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan sekiranya ia tidak mencukupi barulah melihat kepada simpanan hari persaraan sebagai pilihan terakhir.

“Selain itu ahli juga boleh mendapatkan nasihat kewangan daripada Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” ujarnya.

Katanya, KWSP memikul beban yang berat untuk melihat situasi semasa dan memainkan peranan bagi memastikan semua ahli mempunyai wang pada masa depan iaitu selepas hari persaraan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber:Wowberita