Jenama “Harimau Menangis” belum diluluskan,ini pesanan MyIPO kepada Datin Noor Kartini

Ibu kepada selebriti Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed diminta tidak mendahului Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dalam mendak-wa jenama Harimau Menangis telah didaftar sebagai cap dagangan selain menjadi hak ekslusif beliau.

Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, MyIPO baru sahaja menerima permohonan daripada Noor Kartini untuk mendaftarkan jenama Harimau Menangis baru diterima oleh pada bulan November tahun lalu, dan ia masih lagi dalam peringkat pemeriksaan.

“Sehubungan itu, jenama Harimau Menangis yang dipohon oleh beliau belum lagi diluluskan dan belum menjadi hak eksklusif beliau.

“Permohonan beliau sama ada diluluskan ataupun tidak, bergantung kepada hasil pemerik-saan dan pertimbangan oleh MyIPO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas isu jenama Harimau Menangis keluaran Noor Kartini menerusi syarikatnya Noor Khan Enterprise.

Ujarnya, MyIPO akan memproses permohonan beliau sepertimana biasa di mana sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Beliau menambah, cap dagangan bererti apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.

Pada Rabu, isu berhubung nama daging Harimau Menangis telah menjadi trending di Twitter susulan tuvlarnya video berdurasi 37 saat memaparkan Noor Kartini sedang memasak daging berkenaan selain memberitahu pihaknya sudah mempatenkan jenama tersebut dan meminta peniaga lain mencari nama selain dari ‘Harimau Menangis’.

Ekoran itu, rata-rata warga maya menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama daging Harimau Menangis dalam produk mereka.

Dalam pada itu, seorang pengguna FB, Amiruddin Mohd Rosdi menjelaskan menurut Kamus Dewan Perdana (KDP), daging harimau menangis ialah daging pejal pada bahagian dada di bawah tulang pinggang lembu. Oleh kerana kedudukannya itu, ia menyukarkan haiwan pemagsa seperti harimau untuk memakan daging di bahagian tersebut.

 

 

 

Sumber:Kosmo,FB Amiruddin Mohd Rosdi