JOOX Music Awards: Datuk Siti Nurhaliza atasi Justin Bieber, BTS

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta kenangan tersendiri apabila berjaya merangkul enam anugerah bagi JOOX Malaysia Top Music Awards 2020.

Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh Siti menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Dalam perkongsian tersebut, Siti memklumkn telah memenangi enam kategori dan empat daripadanya ialah untuk JOOX Top Music Awards Mid Year 2020.

Lagu Aku Bidadari Syurgamu berjaya memenangi dua kategori iaitu Top 5 Hit Lokal dan Lagu Lokal Paling Popular.

Dan dua lagi anugerah ialah Top 5 Artis Lokal dan Artis Lokal Paling Popular.

Sementara untuk JOOX Top Music Overall 2020 Awards pula, Siti berjaya merangkul anugerah Top 5 Artis Lokal Tahun 2020 dan Top 5 Hit Lokal Tahun 2020 untuk lagu Aku Bidadari Syurgamu.

Kesemua kemenangan tersebut ialah hasil undian daripada para peminat dalam laman web rasmi JOOX.

Menurut pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 42, dia berterima kasih kepada semua yang telah mengundinya sepanjang tahun 2020.

“Terima kasih kepada JOOX kerana selalu memberi sokongan dan mempromosikan lagu-lagu saya selama ini.

“Menerusi JOOX, lagu-lagu saya dapat didengari dan distrim oleh pencinta muzik dan peminat saya sendiri,” katanya dalam video tersebut.

Tambah pelantun lagu Kuasa Cintamu itu, kesemua kejayaan tersebut merupakan kenangan manis buatnya untuk tahun lalu sehingga awal tahun ini.

“Kesemua kenangan tersebut sangat manis untuk saya sepanjang tahun 2020 dan pembuka tahun 2021.

“Terima kasih kepada semua yang telah mengundi dan terima kasih JOOX atas usaha penganjuran anugerah ini,” katanya lagi.

Lebih membanggakan, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu merangkul lebih banyak kemenangan berbanding penyanyi antarabangsa terkenal, Justin Bieber dan kumpulan K-pop popular, BTS.

Bieber berjaya meraih lima anugerah termasuk kategori Artis Antarabangsa Paling Digemari.

Pada masa sama, BTS turut membawa pulang lima anugerah termasuk anugerah Lagu K-Pop Paling Popular dan Top 5 Hit K-Pop Tahun 2020.

Penganjuran JOOX Malaysia Top Music Awards 2020 bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian dan karya penggiat muzik tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun 2020.

Terdahulu, pada Disember tahun lalu, Siti juga pernah diumumkan sebagai Artis Lokal No 1 Paling Banyak Distrim di aplikasi muzik Joox sepanjang tahun 2020.

 

 

 

 

 

 

Sumber;KOsmo