KECEMERLANGAN Easwaran Vasudavan yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini meniggalkan makna yang cukup bererti dalam hidupnya.
Mana tidaknya, Easwaran, 18, seorang pelajar bukan Islam meraih A+ dalam mata pelajaran Tasawwur Islam yang jarang-jarang diambil selain dari pelajar bukan Islam.
Easwaran memberitahu sejak kecil lagi dia memang menonton pelbagai program keagamaan yang disiarkan di TV3 dan TV9 seperti Jejak Rasul, Halaqah dan Tanyalah Ustaz.
Dari situ, dia berminat meluaskan ilmu pengetahuannya dalam Islam,yang dilihat merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan.
“Islam itu lengkap dengan pelbagai perkara termasuk sains, teknologi, aspek kehidupan dan sebagainya. Saya cukup kagum bagaimana setiap perkara itu dijelaskan dan mempunyai fakta di sebaliknya,” katanya yang ingin menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran.
Easwaran memberitahu ibu bapanya juga tidak pernah menghalag dia mendalami agama Islam dan mengambil subjek Tasawwur Islam ketika SPM. Malah katanya, mereka sudah sedia maklum dengan minatnya malah adakalanya sama-sama menonton program keagamaan yang disiarkan di TV3 dan TV9.
Selain itu, inspirasi utama yang mendorong kecemerlangannya adalah idolanya iaitu personaliti televisyen yang juga hos program Jejak Rasul iaitu Ahmad Fedtri Yahya.
Easwaran memberitahu dia juga turut kagum dengan gaya pengacaraan dan penggunaan bahasa Melayu Ahmad Fedtri ketika mengendalikan program itu.
Lantaran itulah dia memulakan langkah dengan menghantar mesej kepada Ahmad Fedtri melalui Instagram bertanyakan soalan berkaitan motivasi mahupun soal keagamaan.
Yang menarik, personaliti itu akan membalas setiap mesej Easwaran , berkongsi pelbagai ilmu dan tip kepadanya.
“Ahmad Fedtri bukan sahaja banyak membantu saya memahami lebih mendalam tentang sejarah Islam tetapi lenggok bahasa dan gaya penyampaiannya cukup menarik perhatian.
“Selain memahami tentang Islam, Ahmad Fedtri secara tidak langsung banyak mengajar saya memperbaiki penguasaan bahasa Melayu saya,” katanya.
“Ahmad Fedtri adalah idola saya dan saya mahu jadi sepertinya suatu hari nanti.
Banyak perkara yang saya rujuk kepadanya terutamanya berkaitan dengan subjek Tasawwur Islam tapi saya tidak pernah memberitahunya saya mengambil subjek itu untuk SPM,” jelas anak kedua daripada empat adik-beradik ini.
Namun Easwaran mengakvi bab Perundangan Islam paling sukar buatnya kerana ia perlu berlandaskan fakta dan bukannya atas pandangan dan pemahaman sendiri.
Sementara itu, bagi Ahmad Fedtri pula dia menjawab setiap soalan yang ditanya Easwaran atas rasa bertanggungjawab untuk memberi jawapan terutamanya tentang perkara penting seperti berkaitan agama.
“Alhamdulillah, apa yang saya kogsikan memberi ilmu dan manfaat kepadanya dan saya kagum dengan kesungguhannya bukan sahaja mendalami agama Islam tetapi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.
Ahmad Fedtri juga menyifatkan Easwaran sebagai seorang pelajar hebat kerana bukan mudah bagi seorang bukan Islam untuk mendalami agama Islam dalam tempoh singkat dan mampu mendapat keputusan cemerlang.
“Tasawwur Islam antara subjek kegemaran saya ketika di bangku sekolah dan apa boleh saya katakan ia tidak mudah kerana kita perlu faham betul-betul dan barulah boleh menjawab soalan.
“Kecemerlangannya disebabkan dia betul-betul mengkaji dan memahami tentang Tasawwur Islam dan itu membuatkan saya bertambah kagum dengannya,” ulas Ahmad Fedtri.
Tahniah buat Easwaran dan semoga Easwaran berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber: mstar