“Saya kena kuat untuk mereka”- Anuar Zain mahu elak drama airmata

Lama menyimpan hasrat untuk menyertai misi kerja-kerja amal, penyanyi tersohor negara, Anuar Zain, 52,bersyukur apabila berpeluang menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan pada 10 April ini.

Menurut Anuar, dia yang pertama kalinya diberi peluang untuk menyertai misi seperti itu menjelaskan mahu memfokus kepada kerja-kerja amal selama lapan hari berada di sana yang akan meliputi agihan barangan keperluan dan makanan kepada pelarian di kem bersama pasukan Syria Care.

“Terus-terang, saya sendiri tak pernah terfikir akan sertai misi kemanusiaan seperti ini. Segala jalannya telah dipermudahkan oleh Allah SWT. Sebenarnya sudah lama saya simpan hasrat, tapi belum ada izin-Nya.

“Ini kerana saya selalu terfikir, kita ini apabila sudah puas bekerja untuk diri dan keluarga tapi kadang-kadang terdetik, adakah sudah cukup kita membantu dan memberi kesenangan kepada orang lain?

“Dengan adanya Syria Care, saya terpanggil menjayakan misi ini dan kerana keadaan hidup mereka di sana yang sangat sus-ah bukan sahaja dari segi makanan, tempat tinggal juga sukar dari segi emosi,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Selain itu, Anuar juga menyatakan rasa teruja untuk menikmati Ramadan di Lubnan
memandangkan misi tersebut berlangsung dalam suasana ketika seluruh umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa.

“Sefahaman saya, tempoh berpuasa di sana adalah selama 17 jam, lebih lama daripada kita di Malaysia. Apa pun saya harap, segala urusan saya bersama Syria Care berjalan dengan lancar pergi dan pulang.

Selain itu, kata Anuar, dia tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku ketika menyantuni pelarian di kem tersebut namun tidak men0lak, hatinya akan cepat tersentuh apabila mengenangkan nasib dan apa yang telah dilalui oleh mereka terutama anak-anak kecil.

“Saya tidak pasti sama ada akan menangis atau tidak ketika di sana nanti sebab auranya berbeza di sana berbanding dengan kita hanya menonton klip-klip video yang pernah diambil orang sebelum ini. Selalunya orang fikir, kalau kita mena-ngis, kita ini lemah.

“Sebolehnya saya hanya ingin memberikan sokongan emosi dan tidak mahu nampak lemah biar orang nampak kita dalam keadaan begitu profesional walau hati cukup tersentuh. Saya kena nampak kuat untuk mereka.

“Tak ada waktu untuk berdrama sebab kita sedang melakukan tugas. Ya, sedih memang sedih, tapi yang penting, saya dapat memberi dan memberi. Emosi sedih, kita kena letak ketepi dahulu demi mereka,” katanya.

“Namun besar juga hasrat saya untuk melihat akan ada lebih ramai pihak tampil bersama-sama memberi sumbangan kepada Syria Care dalam misi kami mengumpul dana sebanyak RM225,000 bagi membantu lebih kurang 1,000 keluarga di negara bergolak berkenaan,”katanya.

Bagi mereka yang ingin menyumbang khususnya menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 boleh berbuat demikian melalui pautan khas Anuar Zain iaitu donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain

Sumber: Utusan