Diet telur Heykal Hanifah berhasil, dah selesa tunaikan solat

Pengarah terkenal Heykal Hanifah, 48, menafikan dirinya membuat pembedahan
bariatrik semata-mata untuk kurus berikutan susuk badannya yang semakin kurus hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet.

Ujar suami kepada aktres Faezah Elai ini lagi, dia tidak akan membuang duit semata-mata untuk membuat pembedahan sebaliknya mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam.

Berkongsi kejayaannya, Heykal berkata, sejak Mei 2019 dia mengamalkan diet pemakanan termasuk memakan 10 hingga 12 biji telur sehari hingga mencapai berat sekarang 75 kilogram (kg).

“Masa kahwin dengan Faezah Elai pada September 2011, berat saya 121kg. Ketika itu kerja saya makan saja. Tak makan masa tidur saja. Sampai berat turun naik dalam lingkungan 115 hingga 118kg hingga Mei 2019. Masa Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 pun masih 118kg.

“Selepas itu ambil keputusan, lagi pula anak-anak kecil lagi dan masih sekolah, takutlah kalau jadi apa-apa masalah atau sakit. Dengan kesedaran itu, saya dan isteri ambil langkah amalkan gaya hidup sihat iaitu diet. Macam-macam diet saya buat dari segi pemakanan.

Isteri yang banyak uruskan pemakanan saya sampai sekarang. Saya tahu kalau lapar, dia buatlah apa yang patut. Cuma, tahap kelaparan tak macam dulu.

“Sepanjang diet hingga sekarang, teruk juga menu saya. Ada sampai tiga bulan makan telur saja setiap hari iaitu 10 hingga 12 biji sehari dengan pelbagai jenis masakan. Hinggakan saya terkena peyakit Gerd disebabkan diet teruk.

Tapi sekarang alhamdulillah okay dah selepas jumpa doktor dan diberikan ubat. Doktor juga menyarankan menu yang boleh dimakan. Dalam masa sama, saya juga tak makan nasi dari 2019 sampai sekarang. Tak ada apa yang pelik pun. Alhamdulillah, berat sekarang dah 75kg,” katanya lagi.

Antara sebab lain yang membuatkan Heykal berdiet ialah kerana dia mula mengalami masa-lah sakit pinggang serta kesukaran ketika menunaikan solat.

“Ketika berat masih lebih 100kg nak solat dan duduk antara dua sujud pun susah. Saya juga sakit pinggang sebab terlalu berat. Tapi, selepas amalkan diet pemakanan berat menjadi 85kg hinggakan ketika menghadiri Anugerah Skrin 2019 kecoh sampai orang tak kenal sebab dah kurus. Berat ni turun berperingkat, tidaklah mendadak.

“Nak tengok perkembangan badan saya semua ada di Intagram. Siapa ‘follow’ saya memang nampak perkembangan. Tidak adalah mendadak turun. Mungkin lepas ni kalau tak jaga naik balik, tapi tak nak lah.

Tahap kolestrol, kencing manis, dan lain-lain semua dah normal. Sebelum ni semua di tahap ‘border’. Alhamdulillah sekarang dah okay dan semoga dapat teruskan gaya hidup sihat ini.

“Sejak 2019 juga saya pergi gimnasium. Kebetulan adik Faezah jurulatih di situ, jadi dia banyak bantu. Masa tu banyak buat ‘cardio’ sebab badan besar. Apabila dah kecil ni kena buat senaman ‘body lifting’. Dulu setiap hari jogging 7km di kawasan perumahan.

Makan kena jaga dan tak ambil minuman manis. Karbohidrat banyak ‘cut’, lebihkan ambil protein, ayam, ikan, telur, itu saja. Kalau pergi gim tak nak makan, ambil protein bentuk serbuk,” kata pengarah tersohor ini mengakhiri perbualan.

Sekadar info, Heykal mendirikan rumahtangga dengan Faezah Elai pada September 2011 dan memiliki dua cahaya mata Dealova Heyrinna dan Aurora Heyrinna.

Sumber:HM