Tahniah! Aizat kini bergelar suami

Tiga tahun menyulam cinta, tadi,tepat jam 9.17 pagi, penyanyi popular, Aizat Amdan, 33, sah bergelar suami kepada pasangannya, Elyssa Alia Illias, 34, dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di A-Park, di sini.

Aizat dan pasangan dinikahkan bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan dengan mas kahwin RM300.

Aizat ketika ditemui berkata, perkahwinan ini adalah permulaan baharu untuk mereka.

“Ini adalah fasa dan permulaan baharu buat kami berdua. Dah lama orang tanya saya soalan mengenai jodoh, jadi inilah jodoh saya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan berbulan madu, Aizat dan Elyssa meyimpan impian untuk ke Tulum, Mexico.

“Saya ada angan-angan untuk membuka studio di tepi pantai, manakala Elyssa pula ada impian untuk membuka sekolah menyelam serta vila di tepi pantai.

“Insya-Allah, November ini saya akan ke Los Angeles atas urusan kerja dan dah alang-alang, akan ke Tulum untuk bercuti,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah kira-kira 100 tetamu termasuk keluarga, rakan-rakan dan media.

Pihak pengantin lelaki menghantar tiga dulang hantaran, manakala pengantin perempuan membalas dengan lima dulang. Bagaimanapun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Majlis merisik dibuat pada Februari lalu sebelum sepakat melangkah ke alam perkahwinan pada Ogos.

Sebagai tanda cinta, Aizat juga telah melancarkan lagu baru berjudul Hanya Kita Dua yang dihasilkan dan didedikasikan buat isterinya.

Sumber:HM