Walau ‘dilindungi’ lembaga besar, Painah berjaya ditemui berkat doa orang ramai

Seorang ahli paranormal, Mohd. Fitri Abdul Razak, 32, berkata,ketika ditemukan di lopak air berkenaan, seolah-olah seperti ada satu lembaga yang sedang mengawal mak cik Painah Siwan sebelum hilang selepas dilaungkan azan.

Pada jarak 300 meter, Painah kelihatan seperti sebuah batu besar yang berada di tengah-tengah lopak.

Namun, hatinya seperti diberikan firasat untuk datang lebih dekat bagi memastikan apa yang dilihatnya itu benar-benar batu atau mak cik yang dicarinya itu.

“Sebaik selepas lembaga itu hilang nenek terus rebah sebelum saya dan sahabat bernama Jas dari Sabah mendapatkannya dan memberikan makan kerana kelihatannya terlalu lemah.

“Oleh kerana keadaan tempat nenek itu ditemui berpaya, saya terus mendukungnya ke tanah lapang sebelum menyelimut menggunakan kain yang kami bawa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum itu Mohd. Fitri dan sahabatnya itu telah bermalam terlebih dahulu di kawasan yang dikatakan sebagai tempat terakhir nenek berkenaan berada.

“Pada waktu malam, kami merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana selepas hampir dua jam berjalan namun masih berada di tempat yang sama.

“Lebih mengejutkan apabila bangun pagi kami berada di atas tanah lapang sedangkan pada malamnya kawasan tempat berehat penuh dengan pokok renek dan rimbun,” katanya.

Fitri menambah lagi, sesungguhnya kejayaan menemukan Painah adalah hasil daripada bantuan Allah apabila setiap langkah pencarian yang dilakukan diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran termasuk Ayat Kursi.

“Kejayaan ini juga hasil daripada doa yang tidak putus-putus daripada keseluruhan penduduk kampung dan seluruh rakyat negara ini agar mak cik Painah ditemukan,” katanya.

Sumber:UM