Cinta ikhlas isteri buat bekas mak nyah insaf

Selalu kita mendengar ungkapan, berjayanya seorang suami kerana ada isteri di belakang nya .

Kenyataan ini cukup untuk menggambarkan kehidupan seorang bekas mak nyah,Mohd Faizal Ismail @Elias, 32,yang nekad meninggalkan dunia songsang yang membelenggu dirinya asbab dari cinta dan sokongan tidak berbelah bagi dari kekasih yang kini sudah pun menjadi suri hatinya.

Elias menyifatkan cinta hatinya itu, Ras, 32, sebagai isteri dari syurga kerana sanggup menerimanya seadanya sehingga dia akhirnya insaf.

Mohd Faizal yang sebelum ini dikenali sebagai Fiona berkata, dia tidak menyangka akan ada wanita yang mencintainya seikhlas hati di sebalik penampilannya seperti wanita.

Katanya, pada mulanya dia dan isteri hanyalah sahabat baik yang bekerja di sebuah butik yang sama.

“Isteri adalah tukang jahit di butik berkenaan manakala saya pula tukang potong kain. Kami memang berkawan baik apatah lagi ketika itu, dia tidak pernah mempertikai penampilan saya.

“Ketika itu penampilan saya persis wanita lengkap dengan rambut panjang mengurai. Namun, seorang rakan pekerja lain kemudian menyatakan pada saya, isteri ketika itu ada menaruh perasaan pada saya.

“Mulanya saya terkejut, namun saya berhadapan dan bertanya sendiri sama ada betul dia menaruh perasaan pada saya. Apabila dia mengaku dan menyatakan akan terima saya seadanya, ia membuatkan saya terharu dan tersentak.

“Keikhlasan isteri menyayangi saya seadanya ketika itu, akhirnya membuatkan saya insaf dan nekad meninggalkan hidup dan dunia mak nyah, bagi membahagiakannya dan membina keluarga,” katanya.

Mohd Faizal berkongsi kisahnya ketika ditemui selepas Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, semalam.

Pada majlis itu, Mohd Faizal diberikan sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, atas usaha aktifnya memberikan ceramah dan berkongsi kisah penghijrahannya kepada pelbagai pihak termasuk warga pendidik dan guru negeri ini dalam program dianjurkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Menceritakan kisah awal hidupnya terjebak dalam dunia mak nyah, Mohd Faizal berkata, pengaruh rakan selain na.fsu diri antara punca utama dia terpengaruh dalam dunia itu.

Katanya, dia mula mengubah berpenampilan sebagai wanita sejak Tingkatan Tiga terutamanya selepas habis waktu sekolah.

“Ketika itu saya sudah mula mengambil pil hormon supaya penampilan tampil memukau dan sempurna selain aktif menyertai pertandingan ratu mak nyah.

“Walaupun saya mengambil jalan salah itu, kakak dan keluarga tidak pernah menyisihkan malah tidak jemu memberikan nasihat dan mendoakan saya berubah.

“Benarlah kata bijak pandai, doa keluarga tiada hijabnya apabila hati saya mula terdetik hendak berubah. Saya nekad berubah berikutan menerima sokongan kuat keluarga malah dicintai wanita yang menerima saya seadanya, menyebabkan saya insaf,” katanya.

Mohd Faizal berkata, dia mula berubah kembali ke fitrah sebagai seorang lelaki sejak 2008 lapan sebelum mendirikan rumah tangga dengan sahabat baik tujuh tahun lalu.

“Alhamdulillah, selepas kahwin rezeki saya dan keluarga semakin melimpah ruah. Selain dikurniakan seorang anak, saya juga diberi kemampuan untuk membeli rumah dan tanah untuk keluarga tercinta.

“Saya kini diberi rezeki sebagai seorang eksekutif swasta dan tidak lagi membenarkan isteri bekerja supaya dia dapat berehat dan membesarkan cahaya mata kami,” katanya.

Dia berkata, apa yang lebih manis, keluarga mentua selain ipar juga melayannya dengan baik walaupun mengetahui kisah hidupnya sebelum berkahwin.

“Alhamdulillah, inilah kemanisan penghijrahan saya apabila keluarga saya dan keluarga mentua menyayangi saya seadanya. Merekalah kekuatan saya.

“Saya ingat lagi pesanan kakak dan ibu, walau apapun jangan lupakan solat lima waktu. Itulah pegangan saya sehingga diberikan Allah rezeki melimpah ruah dan kebahagiaan hidup.

“Saya juga berharap masyarakat janganlah mengecam, mentertawakan serta menghina golongan mak nyah kerana ada antara mereka yang sebenarnya mahu berubah tapi dijauhi dan dipandang serong masyarakat dan tidak diberi peluang,” katanya.

Sumber:HM