Penduduk kampung kesal mesin ATM ‘bagi’ duit lusuh, koyak

Beberapa penduduk kampung di daerah Kemaman terkejut selepas menerima kepingan wang yang lusuh serta terkoyak ketika mengambilnya di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di sini.

Menurut seorang penduduk, Mohd Hanafiah Ali, 70,dia dan anaknya terkejut apabila mendapati tiga keping wang RM50 yang pudar selepas mengeluarkannya daripada mesin ATM terbabit, kira-kira jam 7.15 pagi tadi.

“Anak saya mengeluarkan wang di mesin ATM itu berjumlah RM280 dan kemudiannya menunjukkan kepada saya tiga keping wang RM50 yang pudar dan koyak.

“Bukan itu saja, wang itu juga tidak mempunyai jalur hologram dan nipis berbanding wang RM50 biasa,” katanya.

Beliau berkata, nombor siri tertera pada wang berkenaan juga tidak dapat dibaca.

Malah yang lebih mendukacitakan, ketiga -tiga keping wang RM50 itu tidak diterima di semua kedai.

Menurut Mohd Hanafiah lagi, anaknya ada mencuba beberapa kali untuk memasukkan wang itu semula ke dalam mesin deposit tunai, namun ia dit0lak.

Beliau menambah, terdapat seorang pengguna mengeluarkan RM1,000 pada mesin ATM itu dan separuh wang yang dikeluarkan lusuh dan tidak boleh digunakan.

“Pekerja stesen minyak di situ ada memberi tahu perkara yang sama turut berlaku kepada beberapa pengguna lain sejak malam tadi,” katanya.

Mohd Hanafiah berkata, susulan itu dia dan anaknya membuat lap0ran di Balai P0lis Chukai.

Sementara itu, Ahmad Sabri Abdullah, 37, berkata dia bernasib baik kerana tidak sempat mengambil wang daripada mesin ATM berkenaan.

“Ketika sedang beratur di mesin ATM itu seorang pelanggan depan saya merungut mendapat wang yang pudar dan rosak.

“Bagi mengelak ris1ko itu, saya membuat keputusan tidak mengambil wang daripada mesin ATM berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sumber: WatanDaily