Andy imbas sejarah Flop Poppy bersama Radhi 33 tahun yang lalu

Ditubuhkan 33 tahun yang lalu, band popular Flop Poppy pada awalnya menapak dalam arena muzik indie terlebih dahulu sebelum menembusi arena arus perdana.

Menurut vokalis kumpulan itu, Andy ketika dihubungi baru-baru ini berkata , Flop Poppy pada awalnya dianggotai empat anak muda iaitu Radhi sebagai vokal, Andy (gitar), Syed (gitar kedua) dan Vijay (bass).

“Kami lakukan semua sendiri, buat lagu, tulis lirik dan menjayakan persembahan dalam gig kecil.

“Nak kata struggle, tidak juga sebab memang dari awal band ini bergerak sendiri dan sekarang juga begitu,” kata Andy.

Cerita Andy, pada awalnya, dia hanya mahu bermain muzik, membuat lagu untuk Flop Poppy dan menyerahkan peranan vokalis kepada Radhi yang akhirnya bersama OAG.

Radhi ketika bersama Flop Poppy

“Bila nak keluarkan album, Radhi sudah tidak bersama Flop Poppy. Kebetulan, lagu demo pula saya nyanyikan.

“Jadi, kami buat uji bakat untuk mencari penyanyi. Tapi, kami tidak jumpa vokalis yang bersesuaian kerana kebanyakan mereka cuba menyanyi seperti penyanyi lain.

“Saya pula pemalu dan tidak suka berada di depan. Tetapi, ahli kumpulan lain mencadangkan saya supaya mengambil peranan vokalis. Mahu atau tidak, saya kena menyanyi,” katanya lagi.

Andy turut menceritakan pengalaman berdepan perubahan hidup sekelip mata selepas lagu Cinta popular.

“Kami berkarya tanpa menjangkakan lagu kami akan popular. Apabila Cinta diterima baik pendengar, hidup kami berubah.

“Saya pulang ke tanah air dari Indonesia dalam keadaan keliru, selain disarankan tidak kerap muncul di tempat awam kerana Cinta sangat popular.

“Ketika itu, Flop Poppy mengalami transformasi mengejut, dari dunia indie ke arus perdana” kongsinya.


Berkongsi lanjut, Andy menceritakan pengalaman diserbu peminat yang ketika itu, belum kenal siapa Flop Poppy.

“Saya tidak lupa, saat diserbu peminat ketika kami hadir ke pelancaran wajah baru sebuah majalah di Mid Valley. Ketika itu, band Indonesia, Sheila On 7 juga ada.

“Kami sangkakan peminatdatang semata-mata kerana Sheila On 7. Tapi, sangkaan kami silap kerana mereka juga datang untuk memberikan sokongan kepada Flop Poppy.

“Ketika itu, ramai yang meminati Cinta, tetapi tidak kenal siapa Flop Poppy,” katanya.

Tidak mudah bagi sesebuah band mengekalkan hubungan baik dalam kalangan ahlinya. Akui Andy, perkara itu memang sukar.

“Anggota Flop Poppy keluar masuk, tetapi kami kekal bersahabat. Kami tidak pernah menganggap diri kami sebagai anggota kumpulan, sebaliknya umpama adik-beradik.

“Matlamat Flop Poppy cuma mahu menghasilkan lagu yang bagus dan terus bermain muzik. Kami tidak mahukan populariti,” ujarnya.

Bagaimanapun Andy berkata dia terkejut kerana ada yang  beranggapan kumpulan itu sudah terkubur, sedangkan Flop Poppy masih lagi aktif melakukan persembahan.

“Orang tanya mana pergi Flop Poppy? Saya kata band ini tidak pernah hilang, malah kami masih aktif”.

 

 

 

Sumber:UM