Mendirikan rumahtangga kali kedua pada Januari lalu, penyanyi Syura Badron berkongsi berita gembira apabila dis.ahkan hamil lima bulan menerusi perkahwinan keduanya dengan Muhd Farizat Ismail.
Syura berkata dia tidak menyangka dikurniakan rezeki selepas 11 tahun tidak hamil.
“Kalau ikutkan perkahwinan kami belum sampai setahun, syukur dapat rezeki anak awal. Kali terakhir hamil adalah 11 tahun lalu, jadi perasaan itu agak kekok seperti sedang hamil anak pertama.
“Saya bersyukur kerana kehamilan keempat ini tidak mengalami sebarang alahan teruk. Cuma kadangkala saya sak.it tekak dan demam,” katanya ketika ditemui pada hari kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 yang berlangsung di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral.
Syura yang dijangka bersalin Mac tahun depan berkata, suami serta anak-anaknya antara individu yang paling gembira apabila dia memaklumkan mengenai kejutan itu baru-baru ini.
“Sebelum bernikah kami pernah berbincang mengenai perkara ini kerana usia saya pun bukan muda lagi. Umur sekarang sudah menjangkau 36 tahun.
“Jadi banyak perkara yang bermain di fikiran saya memandangkan suami saya tidak pernah berkahwin sebelum ini. Tapi dia sudah menegaskan yang dia tidak kisah seandainya tiada rezeki anak. Dia faham keadaan diri saya.
“Bagaimanapun sebaik dia tahu saya disahkan hamil dia sangat gembira dan inilah kesempurnaan yang diimpikan setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga,” katanya.
Syura dan Muhd Farizat berkahwin pada 22 Januari lalu selepas lima tahun mengenali hati budi masing-masing.
Hasil perkahwinan terdahulu, Syura dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11.
Sumber:HM