Drama Rindu Kasih yang mendapat sambutan hangat penonton kembali melonjakkan kredibiliti teraju utama naskhah tersebut, Izzue Islam dan Ummi Nazeera apabila disebut-sebut sebagai gandingan paling serasi.
Bersyukur dengan impak drama siaran TV3 itu, Izzue yang melakonkan watak utama sebagai Amir mengakui, sangat selesa bekerjasama dengan Ummi yang membawakan watak Salina.
Katanya, keakraban sebagai rakan artis banyak membantu mewujudkan keserasian ketika di set penggambaran sehingga lakonan mereka berbekas di hati penonton.
“Ini adalah drama keempat kami digandingkan bersama sejak P4tahnya Sebelah Sayap yang turut memberi impak besar kepada khalayak.
“Tidak banyak drama yang kami berlakon bersama, cuma mungkin sebab sudah kenal lama dan faham tahap lakonan masing-masing, jadi ia membantu kami untuk lebih memahami kekuatan masing-masing.
“Kebanyakan adegan dalam drama itu tidak dirancang. Ummi boleh membaca pergerakan dan permainan watak saya, malah tahu bagaimana untuk ‘sambut’ dan balas. Kita sudah tahu ‘energy’ masing-masing, selain komunikasi juga penting,” katanya.
Rindu Kasih yang ditayangkan di slot Samarinda sejak 16 November lalu turut membariskan barisan pelakon seperti Amyza Aznan, Ezzaty Abdullah, Fazlina Ahmad Daud dan Arash Mohd.
Disoal mengenai pemilihan pelakon gandingan, Izzue berkata, dia sentiasa bersikap terbuka berlakon dengan sesiapa sahaja dan menjadi tanggungjawabnya untuk mencipta keserasian setiap kali mendapat tawaran baru.
“’Mungkin disebabkan saya banyak bergandingan dengan Ummi untuk naskhah berat, jadi penonton lebih ingat.
“Semua projek yang saya dapat dengan Ummi adalah ‘special’. Drama ini ada sedikit kelainan bagaimana hubungan pasangan yang bercinta sejak kecil akhirnya r0sak akibat ‘dicucuk’ ibu sendiri.
“Ibu Amir jadi begitu kerana menyimpan dendam terhadap keluarga Salina,” kongsinya.
Sumber:UM