Cuma terlintas bayangan hari kiamat

Seorang rakyat Malaysia yang terselamat ketika gempa bumi melanda Maghribi pada Jumaat lalu, Julie Ezwin Othman, 45, berkongsi pengalaman ketika menghadapi detik cemas tersebut.

Menurut Julie, dia ke negara itu pada 4 September bagi menghadiri satu mesyuarat dan dalam pada masa yang sama mengambil peluang untuk melancong bersama suami dan anak lelakinya dan menginap di rumah penginapan milik rakannya di Riad Farasha, Marrakesh.

Katanya, kejadian menak.utkan itu berlaku selepas mereka sekeluarga selesai makan malam bersama penuntut Malaysia dan Singapura.

“Ketika bersembang, kami rasa gegaran kuat seolah-olah kami ada dalam kotak yang digoncang kuat. Gegaran itu menyebabkan air kolam renang di penginapan itu juga berkocak kuat dan melimpah keluar selain kami lihat candelier berhayun kuat, kipas siling berbunyi kuat selain banyak barangan bergerak dan jatuh berderai.

“Suami mengalunkan azan dan kami ikut serta sebelum gegaran semakin reda dan berhenti sebaik saja azan selesai,” katanya lagi.

Penulis lirik dan Pengarah Kreatif, Kebudayaan dan Pendidikan yang bermastautin di United Kingdom sejak 22 tahun lalu itu berkata, mereka keluar mencari perlindungan di kawasan lapang bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan struktur binaan di negara itu tidak begitu kukuh dan sangat rapat.

Dia turut terdengar bunyi jeritan p4nik kerana ada gegaran yang menggerakkan menara masjid di depannya sehingga ramai orang lari bertempiaran.

Dia dan keluarganya memutuskan untuk menuju ke lapangan terbang, namun jalan sesak dan tiada teksi mahu berhenti.

“Dalam keadaan itu, saya digerakkan hati berdoa kami mempunyai misi besar untuk Ummah, saya mohon Allah SWT mempermudahkan urusan kami dan selamatkanlah kami dari bencana ini,” katanya yang menetap di Old Windsor.

Tanpa disangka-sangka katanya, sebuah van berhenti di depan mereka dan dengan bantuan seorang penuntut bernama Nabila dari Rabat yang fasih berbahasa Arab dan tempatan, pemandu lelaki berusia itu sudi menumpangkan mereka.

“Setibanya di lapangan terbang, kami lihat ramai berbaring di kawasan parkir selepas bangunan ditutup kerana ada kerosakan. Kami berbaring ala kadar di atas rumput, namun sukar melelapkan mata kerana masih terkejut.

“Esok paginya, saya lega kerana kami antara yang terawal dibenarkan check in (daftar masuk) untuk pulang ke London,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menginsafkan dirinya malah menganggapnya sebagai hikmah berikutan berjaya mengharungi situasi genting itu bersama penuntut Malaysia yang baru dikenali.

“Secara jujurnya terlintas dalam fikiran saya, inikah gambaran hari kiamat yang Allah ingin kami lalui sedikit dengan melihat bagaimana goncangan bumi berlaku dan manusia berlari panik menjerit ketakutan dan meraung.

“Saya bersyukur sangat Allah berikan pertolongan melalui pelajar yang kami temui, malah kami menjadi sangat rapat biarpun baru pertama kali bertemu. Allah jadikan asbab kami dipertemukan di Marrakesh untuk lalui pengalaman menakutkan ini dan terharunya mereka bersama kami hingga ke akhirnya sebelum kami bertolak ke London,” katanya yang turut berkongsi detik itu di Instagram, colours_and_ezwin.

Sementara itu, Sayyed Zayd Almahdaly Syed Ahmad, 23, berkata, dia turut merasai pengalaman sama selepas singgah di Marrakesh dalam rangka kembara peribadinya yang dilakukan setiap tahun bagi melihat negara luar.

“Saya berkenalan dengan keluarga Julie Ezwin ketika dalam penerbangan dari London ke Marrakesh sebelum mereka menjemput saya makan malam Jumaat lalu hingga saya bersama mereka melalui detik gempa itu hingga ke lapangan terbang.

“Saya sendiri berjaya keluar dari Marrakesh kira-kira 10 malam kelmarin menuju ke tempat lebih selamat di Casablanca sebelum rancang teruskan lagi perjalanan ke Sepanyol. Syukur semuanya selamat. Saya anggap kejadian ini ada hikmah tersendiri yang ingin Allah tunjukkan atau mungkin memberi ingatan kepada saya,” katanya yang akan pulang Malaysia dalam tempoh sebulan dua lagi.

Setakat ini, gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda 72 kilometer di barat daya kawasan tumpuan pelancong Marrakesh pada 11.11 malam Jumaat lalu, mengorbankan kira-kira 2,122 mangsa manakala 2,421 lagi cedera.

Sumber:HM