Pengalaman jadi budak nakal cetus idea Syed Huzaifah bina aplikasi merit hingga tarik perhatian sekolah-sekolah Jepun

Umum mengetahui negara matahari terbit iaitu Jepun terkenal dengan adaptasi teknologi pendidikan yang dinamik Dan lebih maju dari negara-negara lain.

Namun lain pula jadinya apabila seorang anak muda dari Malaysia berjaya membangkitkan keterujaan yang mana negara matahari terbabit mahukan inovasi bidang tersebut yang dicipta beliau.

Siapa sangka Syed Huzaifah Syed Omar, 38, yang dulunya dikenali sebagai budak nakal di sekolah berjaya menambat hati orang Jepun yang mahukan sistem padu pendidikan diciptanya diguna pakai di sekolah negara mereka.

Sedangkan sebelum ini sekolah-sekolah di Jepun telah lama diiktiraf sebagai salah satu contoh terbaik dalam penerapan nilai-nilai murni dalam sistem pendidikan mereka.

Pendekatan yang begitu cekap dalam mendidik pelajar bukan hanya menitik beratkan pembelajaran akademik malah negara matahari terbit itu juga sinonim dalam menanam nilai- nilai moral dan amalan baik sepanjang pengalaman pendidikan.

Ciri-ciri tersebutlah yang ada dalam aplikasi pendidikan StudentQR dihasilkan Syed Huzaifah. Aplikasi tersebut sangat sepadan dengan nilai pendidikan di Jepun sehinggakan badan pendidikan di negara itu mula menghubungi Syed Huzaifah bagi mendapatkan inovasi lengkap yang diciptanya.

“Saya tidak menyangka Jepun begitu berminat dengan sistem keseluruhan yang saya cipta,” kata Syed Huzaifah.

Katanya, apabila kali pertama diundang ke Jepun untuk membentangkan sistem dinamakan StudentQR itu, beliau agak skeptikal pada mulanya.
“Mungkin bagi saya, ia adalah pitching perniagaan biasa tapi tak sangka saya dihubungi semula dan badan pendidikan mahukan sistem tersebut disediakan di sekolah mereka,” katanya.

StudentQR dibuktikan berjaya dalam penggunaan kod QR yang mampu meningkatkan disiplin dalam kalangan pelajar, sekali gus melahirkan individu yang mengejar kebaikan terutama apabila berada dalam sesi persekolahan.

Sekolah yang menggunakan sistem StudentQR Points yang dibangunkan membolehkan guru memberi merit atau markah berdasarkan amalan baik pelajar di sekolah menggunakan imbasan kod QR yang dipasang pada kad ID pelajar kurang dari 5 saat.

Antara merit atau ‘point’ khas seakan memperoleh mata ganjaran ketika mengisi petrol dan sebagainya itu boleh diberikan kepada pelajar termasuk apabila pelajar terbabit membantu guru, datang awal ke sekolah, gotong-royong, menghantar kerja rumah dan sebagainya. Kesemua merit dan jumlah markah ditentukan sendiri pihak sekolah.

Manakala bebanan guru pula kini lebih ringan apabila mereka hanya perlu mengisi kehadiran dan rekod amalan baik pelajar kurang dari 5 saat tanpa perlu menyalin semula daripada kertas ke komputer di pejabat. Malah rekod pelajar boleh direkod dalam mode ‘offline’.

Bukan itu saja, ibu bapa juga boleh memantau setakat mana kemajuan anak mereka di sekolah seperti markah peperiksaan, bacaan buku, aktiviti sekolah dan sebagainya.

Kejayaan aplikasi StudentQR tidak terbatas hanya di Jepun. Sekolah-sekolah di Amerika Syarikat, Indonesia dan Australia juga telah menggunapakai aplikasi ini.

“Idea asal aplikasi ini saya fikirkan lama dulu memandangkan saya budak nakal di sekolah jadi ada satu ketika saya mengimbau kenangan-kenangan perlakuan nakal terbabit, ia mencetuskan idea StudentQR ini.

“Saya terbayang dan memikirkan solusi terbaik mengatasi masalah disiplin pelajar dan bebanan guru seperti mana yang saya alami sekolah dan tercetuslah idea ini,” katanya.

Kisah Syed Huzaifah ini adalah bukti bahawa seseorang boleh berubah dari menjadi pelajar nakal menjadi inovator yang membawa perubahan dan impak besar dalam sistem pendidikan.

Dengan aplikasi StudentQR, amalan baik menjadi lebih mudah direkodkan dan pelajar-pelajar di seluruh dunia dapat merasai kegembiraan melakukan kebaikan.
Inilah contoh bagaimana inspirasi dari pengalaman lalu dapat menjadi kayu api yang menyulut perubahan positif dalam masyarakat.

Sumber: Awani