Cara ‘Menyucikan’ Wang Simpanan Yang Dikhuatiri Tercemar Dengan Unsur Syubhah

Dalam kehidupan masa kini, tidak dinafikan kita mudah terdedah dengan unsur-unsur syubhah sama ada dari sudut pemakanan, pakaian, wang pendapatan dan sebagainya. Sebelum itu, tahukah kita apa itu syubhah?

Dr.Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam menyatakan, ‘Syubhah itu adalah perkara yang berada di tengah-tengah antara halal dan haram.’

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Dan, di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah).”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Begitu banyak ruang dan pintu syubhah di sekeliling kita, namun adakah kita menyedarinya?

Sebagai contoh, wang faedah hasil daripada simpanan dalam bank-bank yang berasaskan riba. Atau, wang gaji yang diperoleh dari pekerjaan di tempat yang mempunyai unsur syubah atau haram.

Sudah pasti hal ini menggusarkan kita sebagai umat Islam yang berpegang dengan ajaran Islam. Lalu, bagaimana cara terbaik untuk membersihkan wang simpanan kita yang tercemar dengan unsur syubhah tersebut? Berikut dikongsikan;

#1 – Manfaatkan Untuk Kepentingan Orang Awam

Wang hasil unsur syubah boleh dimanfaatkan untuk kepentingan awam sebagai contoh membina jalan raya, tandas awam, jambatan awam dan sebagainya. Serahkan pada badan, organisasi mahupun orang perseorangan untuk tujuan tersebut.

#2 – Sedekahkan Kepada Golongan Fakir, Miskin, Anak Yatim, Musafir

Carilah mana-mana fakir dan miskin, anak yatim, orang musafir, berjihad di jalan Allah dan sebagainya dengan niat untuk membersihkan wang kita daripada unsur tersebut.

#3 – Masukkan Ke Dalam Tabung Baitulmal

Penyerahan wang kepada Baitulmal merupakan pilihan utama, selamat dan meyakinkan selain ia dapat menyumbangkan kepada kemaslahatan sosio ekonomi umat Islam.

#4 – Berikan Kepada Pusat-Pusat Islam

Kini, banyak kawasan dan daerah yang memiliki pusat Islam. Sebagai contoh, di kawasan institusi pengajian tinggi awam. Kebiasaannya, pusat-pusat Islam ini akan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan atau kebajikan untuk masyarakat awam.

#5 – Membantu Dalam Urusan Perkembangan Dakwah

Konsep dakwah kini begitu luas. Dalam hal ini, mungkin anda boleh salurkan kepada individu yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti dakwah, syarikat penerbitan yang menerbitkan kitab-kitab agama, ahli jawatankuasa surau mahupun masjid dan sebagainya yang berunsurkan kebajikan.

Rasulullah SAW ada mengingatkan kepada kita melalui sabdanya yang bermaksud;

“Akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi peduli dari mana mereka mendapatkan harta, apakah dari usaha yang halal atau haram.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk menjauhkan diri dari unsur-unsur syubhah dalam kehidupan seharian. Namun, jika kita tidak dapat mengelakkan diri daripada perkara tersebut, maka hasil-hasil yang diperoleh daripada aktiviti syubhah hendaklah dilupuskan sebaiknya mengikut syarak. Wallahua’lam.

 

Sumber: Tazkirah.net