Inilah Sebab Kenapa Digalakkan Mengaji Al Quran Secara Beramai-ramai, Salah Satunya Hati Jadi Tenang

Aktiviti mengaji Al-Quran secara beramai-ramai ini amat digalakkan. Banyak kelebihan yang akan diperoleh. Yang mana, guru mengaji akan mendengar bacaan seorang anak murid dan yang lain akan mendengar. Ada juga yang mengaji dengan mengikut bacaan seorang qari.

Pelbagai cara boleh dilakukan dalam mendidik hati agar mendekati Al Quran. Selain membaca al-Quran secara sendirian, membaca al-Qur’an secara berkumpulan merupakan perkara yang digalakkan. Imam an-Nawawi Rahimahullah berpendapat bahawa jika satu kumpulan itu membaca al-Qur’an secara berganti-ganti atau bergilir-gilir, maka itu adalah suatu langkah atau cara yang baik dan diharuskan.

Gambaran yang diberikan mengenai kaedah bergilir-gilir ialah seorang qari’ (pembaca) al-Qur’an membaca sebanyak sepuluh ayat atau satu juz atau seumpamanya, dan apabila dia selesai membaca dia pun diam. Kemudian bacaan ayat seterusnya disambung lagi oleh pembaca selepasnya dan begitulah seterusnya sehingga selesai.
Kelebihan membaca dan mempelajari al-Qur’an secara beramai-ramai adalah sangat besar ganjarannya. Ini jelas disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang sering dibawakan sebagai dalil mengenai perkara ini:

Maksudnya: “Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid), mereka itu membaca al-Qur’an dan saling bertadarus antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diselubungi rahmat, di kelilingi para malaikat rahmat dan Allah mengingati mereka pada siapa di sisiNya.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain daripada masjid dan tempat ibadat, maka termasuklah juga di rumah, tempat belajar ilmu, sekolah dan yang seumpamanya.Disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi,

Maksud Tadarus

1. Sebahagian daripada pembaca itu membaca dan sekaligus memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an kepada sebahagian yang lain.

Tujuannya untuk pembetulan (tashhih) lafaz-lafaz al- Qur’an (sekiranya ada kesalahan atau kesilapan) ataupun dengan tujuan untuk mengetahui makna-maknanya; Berdasarkan kepada pengertian tadarus di sini, ianya serupa dengan apa yang pada kebiasaannya dilaksanakan ketika bertadarus khususnya di bulan Ramadhan.

Sebahagian atau seorang daripada kumpulan itu memperdengarkan bacaannya, manakala sebahagian yang lain itu mendengar sambil menyemak bacaan tersebut. Jika terdapat kesalahan atau kesilapan, maka individu atau kumpulan yang menyemak tadi akan segera memperbetulkannya.

Untuk menambahkan lagi kualiti pembacaan, adalah disarankan, dalam kumpulan itu terdapat seorang yang baik bacaan al-Qurannya, maka dia boleh pula membimbing pembaca-pembaca yang lain apabila diperlukan.

2. Maksud tadarus itu, membaca al-Quran dengan bersungguh-sungguh (komited) dengan cara menjaga dan mengamalkannya agar tidak lupa.

3. Menurut al-Qari’, tadarus itu lebih khusus daripada membaca al- Quran semata-mata.

Jangan Malu, Rendah Diri.. Faham Maksud Tujuan Asal Mengaji

Namun bagi mereka yang enggan memperdengarkan bacaannya kerana sebab-sebab tertentu, seperti kurang mahir dalam bacaan atau alunan suara, janganlah merasa rendah diri dan malu, kerana tujuan asal bertadarus ialah untuk mendapatkan pahala membaca al-Quran.

Ia juga bertujuan untuk mempelajari al-Quran, memperbaiki mutu bacaan dan memperbetulkan bacaan qari’ (si pembaca) jika terdapat lafaz-lafaz atau bacaan yang tidak betul. Perkara ini sukar diperolehi ketika membaca al-Quran secara bersendirian. Apatah lagi membaca al-Quran secara bertadarus itu mempunyai ganjaran dan kelebihan tersendiri.

Janganlah kita sekali-kali meninggalkan membaca al-Quran, kerana membaca al-Quran itu mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan bukan sahaja kepada pembacanya, bahkan kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Perbanyakkanlah membaca al-Quran kerana pada hari kiamat al-Quran akan datang sebagai pemberi syafaat bagi orang yang membacanya, sebagaimana riwayat Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya (al-Qur’an) itu datang pada hari Qiamat menjadi syafa’at kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Jelasnya, al-Qur’an adalah zikir, doa dan juga permohonan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar mengurniakan kebaikan, rahmat dan keampunan kepada orang-orang yang membacanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: “Barangsiapa sibuk membaca al-Qur’an untuk selalu mengingatiKu, maka Aku beri dia lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta-minta. Dan keutamaan kalam Allah dan kalam-kalam yang lainnya adalah seperti keutamaan Allah pada makhlukNya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sumber

Facebook Comments