Makmum Baca Al Fatihah Ketika Imam Sedang Membacanya. Boleh Atau Tidak?

Soalan:

Bolehkah makmum membaca al-Fatihah secara perlahan semasa imam sedang membaca al-Fatihah dalam solat berjemaah untuk mengelakkan daripada terlupa membacanya?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab isu di atas, jika sekiranya sifatnya memang seorang yang sering pelupa, maka dibolehkan.[1] Akan tetapi nas menyebut supaya perlu senyap ketika imam sedang membacanya. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A yang menyebut:

صَلَّى النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- بِأَصْحَابِهِ صَلاَةً نَظُنُّ أَنَّهَا الصُّبْحُ فَقَالَ : هَلْ قَرَأَ مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ. قَالَ رَجُلٌ أَنَا. قَالَ : إِنِّى أَقُولُ مَا لِى أُنَازَعُ الْقُرْآنَ.

Maksudnya: “Nabi SAW solat bersama para sahabatnya yang kami mengira ia adalah solat Subuh. Beliau kemudian bersabda: “Apakah ada salah seorang daripada kamu yang membaca surah (di belakangku)?” Seorang lelaki menjawab, “Saya.” Baginda lalu bersabda: “Kenapa aku ditandingi dalam membaca Al Qur`an?”

Riwayat Abu Daud (826), Ibn Majah (848),
al-Nasa’ie (919) dan al-Tirmizi (195)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا

Maksudnya: “Jika imam membaca (al-Fatihah), maka diamlah.p9

Riwayat Muslim (932)

Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Walaubagaimanapun, para ulama mengatakan bahawa sekiranya imam adalah seorang yang cepat bacaan al-Fatihahnya contohnya seperti ketika sembahyang terawih, manakala makmum pula perlahan dalam membaca al-Fatihah, maka dibolehkan untuk mula membaca bagi mengelakkan selalu tertinggal.

Oleh itu, hendaklah dilihat pada suasana-suasana dan keadaan-keadaannya. Hal ini sering terjadi ketika solat terawih di kampung-kampung di tempat kita.

Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Nota Kaki:

[1] Dalam kitab Fath al-Mu’in disebut:

ﻭﺇﻥ ﺳﺒﻘﻪ ﺑﺎﻟﻔﺎﺗﺤﺔ ﺃﻭ اﻟﺘﺸﻬﺪ ﺑﺄﻥ ﻓﺮﻍ ﻣﻦ ﺃﺣﺪﻫﻤﺎ ﻗﺒﻞ ﺷﺮﻭﻉ اﻹﻣﺎﻡ ﻓﻴﻪ ﻟﻢ ﻳﻀﺮ

Maksudnya: “Jika makmum mendahului Imam dengan bacaan al-Fatihah atau tasyahhud yang mana menghabiskan bacaan salah satu dari keduanya sebelum imam memulakan bacaan itu, maka ia tidak memudaratkan.” (Lihat Fath al-Mu’in, 2/48. Lihat juga Mughni al-Muhtaj, 1/255)

 

 

<

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: islamituindah