Pasangan Culas Solat, Apa Patut Kita Buat?

Setiap wanita muslim pastinya mengimpikan seorang suami yang mampu membimbing mereka ke syurga, menjadi imam solat mereka. Namun, bukan semua isteri bernasib baik memiliki suami begitu.

Bagaimana sekiranya si suami culas solat? Nasihat isteri umpama mencurahkan air ke daun keladi, langsung tak berbekas. Bagaimana isteri boleh memainkan peranan untuk menyedarkan suami? Ikuti perkongsian daripada puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis kolumn Resipi Hidup dalam majalah Mingguan Wanita.

Hilang Hormat

Seorang isteri mengadu kepada saya mengenai sikap suaminya yang enggan bersolat. Bukan solat Jumaat atau solat hari raya, tetapi enggan menunaikan solat lima waktu yang diwajibkan kepada umat Islam seluruhnya.

Sikap suami menyebabkan isteri hilang hormat dan rasa muak untuk melayan si suami. Realitinya, kes sebegini bukanlah kes terpencil. Mengikut kajian, antara sebab utama berlakunya perpecahan dalam rumah tangga malah hingga menyebabkan berlakunya perceraian ialah kerana ada di kalangan individu tersebut yang tidak menunaikan tanggungjawab solat. Namun, bila berdepan dengan suami atau isteri yang tak solat, pergaduhan atau perceraian bukanlah penyelesaiannya.

Perlu difahami, setiap ketentuan Ilahi itu bersebab dan pastinya juga mempunyai hikmah. Sama juga isunya dengan ketentuan jodoh anda bersama pasangan anda.

Benar, dalam al-Quran melalui surah an-Nur ayat 26 dijelaskan: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik.”

 

Maksud Tersirat

Sungguhpun maksud ayat ini jelas, terang dan mudah difahami, masih ada maksud lain yang boleh difahami. Maksud yang tersirat di sebaliknya ialah seandainya ditetapkan jodoh anda dengan seseorang yang berbeza tingkah laku dan sikapnya iaitu ada sikapnya yang menyalahi syariat, berkemungkinan pasangan anda itu boleh berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya tetapi memerlukan usaha dan tindakan daripada anda.

Itulah yang dikatakan hikmah tersembunyi di sebalik rahsia jodoh yang ditetapkan oleh Allah SWT. Buat para isteri yang berdepan masalah sebegini, jangan jadikan alasan bercerai hanya kerana suami anda tak solat. Benarlah, ramai isteri sebegini mengadu memerlukan suami yang boleh mendidik, membimbing dan mengimamkan solat berjemaah. Sememangnya itu juga hasrat ramai wanita dan gadis.

Tetapi perlu diingat, pilihan perlu dibuat sebelum sahnya akad nikah, bukan setelah cinta yang mulanya bersemarak hingga membutakan mata dan kini cinta mulai lenyap dek kegagalan pasangan dalam melaksanakan sebahagian tanggungjawab, mungkin juga berlaku curang maka hasrat menginginkan seorang imam pula dititikberatkan. Pengalaman saya mengendalikan kes juga, hal suami tak solat bukanlah isu besar kecuali setelah pasangan tadi bersikap curang. 

Ajak

Bila berdepan dengan suami yang enggan solat, para isteri berperanan untuk mendidik dan membimbing suami untuk melaksanakan solat. Jangan diperintah tetapi ajaklah suami untuk sama-sama menunaikan solat. Ingatkan suami secara berhikmah mengenai kewajipan solat. Jangan mengajar kerana suami mempunyai egonya yang tersendiri. Ambillah teladan Rasulullah s.a.w mengajak kaum kafir terdahulu ke arah Islam, segalanya penuh hikmah kan! Berlembut, berdikit-dikit dan penuh sabar!

Di samping ajakan sendiri, jika anda telah dikurniakan anak yang dididik untuk solat, boleh minta si anak mengajak ayahnya pula melaksanakan solat.

Tidak wajar bagi isteri untuk hilang rasa hormat dan enggan melayan si suami yang enggan solat sekiranya si suami melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami. Contohnya si suami melaksanakan tanggungjawab menyediakan nafkah zahir, melayan anda dan anak sebaiknya cuma si suami tidak melaksanakan solat maka dalam keadaan ini, sebagai isteri dan anak, anda wajib kekal menghormati suami dan melayan suami dengan baik.

Anda cuma perlu bersikap aktif untuk menasihati, mengajak, membimbing malah kerap mendoakan agar suami berubah menjadi hamba-Nya yang soleh dan mengerjakan solat, puasa dan sebagainya yang telah diarahkan oleh Allah untuk dilaksanakan dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Mendidik tanggungjawab suami, bukan tanggungjawab isteri! Jika itu yang bermain di fikiran sekarang, anda salah! Sebenarnya, setiap individu termasuklah isteri dan ibu; bertanggungjawab memastikan setiap ahli keluarganya berada di landasan yang betul, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya….” – surah Toha: 132. Ayat ini meletakkan arahan umum kepada semua merangkumi suami, isteri, ibu, ayah malah si anak. Kenapa?

Ketahuilah! Kita semua dilahirkan sebagai hamba Allah! Tugas dan peranan penting sebagai hamba Allah ialah melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar atau menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan keburukan. Jelas sekali, mendidik bukan hanya peranan suami tetapi juga peranan isteri terutama sekali apabila suami gagal melaksanakan peranan tersebut.

 

 

Sumber

Facebook Comments