Nur Atira Bakal Hilang Kaki Akibat Dari Kecuaian Orang Lain

Kadang-kadang kita merasakan mengapa Allah menguji kita begitu berat, sedangkan orang lain mampu bahagia. Padahal tidak kita sedar bahawa Tuhan hanya ingin menguji kita, sejauh mana tingkat kesabaran kita. Sekental mana hati atau sekuat mana iman di dada dalam menghadapi ujian yang Esa.

Sudah tentu, satu detik yang menyedihkan apabila kehidupan diuji akibat kecuaian orang lain. Sedangkan kita sentiasa berhati-hati tetapi dengan kelalaian orang lain, kita yang menanggung akibatnya. Sejauh mana hati menidakkan kenyataan, namun detik masa tidak akan terundur sama sekali.

Bayangkan dalam usia baru mengenal hidup, Nur Atira Danilla Saiful Azhari, 19 tahun perlu melupakan hari-harinya yang indah selama ini. Hidupnya kini hanya terlantar di hospital. Lima bulan sudah berlalu, sebelah kakinya berisiko dipotong sehingga ke paras peha selepas motosikal ditunggangnya dilanggar seorang lelaki dewasa yang mengaku terlelap ketika memandu kereta.

Hati dipagut rasa pilu tatkala terdengar suaranya yang merayu-rayu pada ibu agar kakinya tidak dipotong. Nur Atira Danilla atau panggilan mesra Atira mahukan kakinya kembali sembuh seperti sebelum ini. Berkali-kali dia tegaskan tidak mahu dipotong kaki.

Sekiranya melihat keadaan kakinya terutama pada besi-besi yang berceracak di kaki kanannya itu, kecederaan dialami Nur Atira sebenarnya amat parah. Tulang ketingnya hancur selepas diserat sejauh 100 meter.

Malah tulang hancur itu telah dibuang melalui satu pembedahan sebesar 5.5 sentimeter (sm) di mana dapat dilihat satu lubang besar terbentuk, seolah-olah satu kawah di bahagian keting kanannya. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.

“Tidak setakat keting, tulang punggungnya turut dibuang sebanyak 5 sentimeter sebelum dipasangkan satu batang besi panjang di kaki kanannya itu. Lebih menyakitkan di bahagian punggungnya ada jangkitan kuman dan sudah bernanah memaksa satu lagi pembedahan dilakukan. Kakinya juga semakin mengecil seolah-olah memberi petanda, ia sukar diselamatkan lagi.

“Tidak hanya parah di kaki, tapi pergelangan tangan kanannya turut terkulai-kulai (hampir putus sebenarnya) sebelum dipasang dawai besi. Malah tangan itu juga sudah tidak kuat untuk menggenggam. Tidak hanya lengan tapi lengan remaja ini turut patah tebu selepas diseret sejauh 100 meter,” cerita ibunya, Rahasuhailawati Abdollah, 42 tahun panjang lebar.

 

Malang Tidak Berbau

Selama ini pada dialah keluarga meletakkan harapan untuk mencari rezeki setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada hari kejadian sebenarnya Nur Atira mahu ke sekolah memandu untuk belajar kereta.

Di pertengahan jalan, Nur Atira terlibat dalam kemalangan jalan raya atas kecuaian orang lain. Benarlah kita tidak mampu menidakkan takdir tetapi kemalangan ini menjadi igauan ngeri buat gadis ini. Malangnya, tiada siapa yang menyedari dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Ahli keluarganya pun menyedari bahawa Nur Atira terlibat dalam kemalangan setekah pihak sekolah memandu menelefon ibunya bertanya kenapa Atira tidak hadir ke sekolah memandu sedangkan keadaannya ketika itu sudah nyawa-nyawa ikan.

Tatkala memandang redup anak mata Nur Atira, hati jadi sayu. Di sebalik wajahnya yang cantik terpalit hakikat kepahitan yang begitu perit. Kakinya sudah disyorkan dipotong sehingga paras peha oleh Hospital Melaka selepas kemalangan berlaku 22 Mei lalu.

Semata-mata mahukan sebuah keputusan serta ikhtiar lain, ibunya, nekad membawa anak sulungnya ini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai pilihan kedua. Sepanjang berada di hospital termasuklah di HKL dan Hospital Melaka, demi memastikan survival dan kaki kanannya pulih seperti sedia kala, remaja cantik ini sudah menjalani pembedahan lebih 10 kali termasuklah kulitnya dipotong dan ditampal.

Pembedahan terakhir yang lakukan ialah salur darah tiruan dan andai berjaya ia adalah satu harapan baru untuknya. Namun selepas beberapa bulan, hanya isi daging mulai tumbuh dengan lekuk kawah itu masih seperti dahulu juga, tidak berubah sebaliknya semakin mengecil.

Menurut ibu yang setia menjaga Atira di hospital sejak kemalangan itu, ibunya sendiri berisiko dibuang kerja kerana kilang tempatnya bekerja hanya memberikan masa tiga bulan sahaja cuti tanpa gaji.

 Berkali-kali Jalani Pembedahan

“Kehidupan kami memang susah ketika ini. Sebelum ini ayahnya (suami) turut dilanggar lari dan ditemui pengsan dalam perjalanan ke tempat kerja. Tulang rusuknya patah dan tak bekerja lebih empat bulan bulan November tahun lalu. Cuti saya pun sudah habis menjaganya. Sekarang ini suami tak boleh bekerja kuat kerana tulang rusuknya tak pulih sepenuhnya lagi dan perlu pakai pendukung.

“Bila saya sendiri tak bekerja dan menjaga Atira di hospital, susah itu berganda-ganda. Saya memang risaukan keadaannya kerana Atira memang tak mahu kakinya dipotong sedangkan sudah berbulan-bulan begini dengan kakinya semakin mengecil tapi belum ada sebarang perubahan besar dapat dilihat.

“Buat masa ini ketika mendapat rawatan di hospital, ada peguam datang dan mahu membantu untuk menyaman pemandu ini tapi saya difahamkan kesnya akan makan masa panjang dan bertahun-tahun tetapi saya lebih risaukan emosinya yang akan menangis kesedihan,” katanya yang mengusap wajah anak sulungnya itu.

“Setiap hari Atira perlu melakukan senaman ringan agar saraf kakinya berfungsi semata-ama untuk mengelak kakinya dipotong. Di kaki kanannya itu kelihatan jelas besi-besi dicucuk bagi membantu tulangnya yang hancur bertaut kembali,” ujar emaknya lagi.

Menurut ibunya lagi, di HKL ada ketikanya pembedahan memerlukan kos rawatan yang agak tingggi termasuk doktor ada meminta disediakan RM5000 sedangkan mereka sudah tiada sumber pendapatan lain kecuali bapa Nur Atira yang bergaji RM1400 sebulan.

Selain perbelanjaan dan kos rawatan, ibunya juga turut bimbang akan keadaan Nur Atira kerana dia sendiri begitu mengharap kakinya kembali sembuh. Sebagai ibu, doa untuk anaknya Nur Atira tidak pernah putus, dan hanya itu sahaja jalan yang dirinya mampu lakukan sekarang.

“Saya merayu kepada mana-mana individu yang bermurah hati untuk menderma demi meringankan bebanan kewangan kami kerana pembedahan demi pembedahan ini memerlukan sejumlah wang yang banyak. Saya akui buntu mencari sumber kewangan,” katanya lagi.

*** Bagi anda yang ingin membantu, salurkan bantuan ke Hong Leong Bank di akaun 026-51-05348-0 atas nama Rahasuhailawati binti Abdollah. 

 

 

Sumber

Facebook Comments