Tembak suami kekasih angkara novel Titian Cinta

Angkara terlalu taksub dengan plot novel Titian Cinta yang didakwa menyamai kisah hidupnya, seorang lelaki bertindak menembak mati suami kekasihnya menggunakan senapang patah buatan sendiri di Felda Keratong Dua di sini pada 24 Oktober lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, difahamkan suspek, seorang pembantu kedai makan, bertindak menembak mangsa berusia 32 tahun yang merupakan pekerja sebuah kedai cuci kereta dari jarak lima meter ekoran ingin membuktikan cintanya kepada isteri mangsa.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, mangsa dan isteri, kedua-duanya warga Indonesia dipercayai telah berkahwin sejak dua tahun lalu, namun sedang mengalami keretakan rumah tangga.

“Difahamkan suspek lelaki warga tempatan bekerja di kedai yang sama dengan isteri mangsa dan menjalinkan hubungan sulit. Suspek dipercayai bertemu dengan mangsa untuk berbincang supaya tidak membawa pulang isterinya ke Aceh, Indonesia.

“Mangsa yang dikenali dengan nama Zubir mengalami kecederaan parah pada muka dan kepala meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari 25 Oktober lalu selepas 12 jam mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini semalam.

Sumber:Kosmo

Facebook Comments