Datin dera amah dipenjara 8 tahun

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan bon kelakuan baik terhadap wanita bergelar “Datin” yang mengaku bersalah mendera amahnya, sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 8 tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Majid Tun Hamzah dalam membenarkan semakan timbalan pendakwa raya Iskandar Ahmad, memutuskan bon kelakuan baik dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya awal bulan ini terhadap Datin Rozita Mohd Ali adalah keputusan tidak betul.

“Saya berpandangan, mahkamah lebih rendah itu menggunakan budi bicara mereka dengan salah dengan mengenakan bon tersebut.

“Perintah mahkamah itu tidak mencerminkan betapa teruknya kesalahan ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi juga berkata Mahkamah Sesyen salah apabila mempertimbangkan kejadian amah Indonesia itu, Suyanti Sutrinso, menarik semula laporan polisnya semasa perbicaraan sebagai faktor mengenakan bon itu.

“Sebaik sahaja aduan polis dibuat, ia bukan lagi kesnya. Ia kes negara.

“Dan ia kini tertakluk kepada peguam negara untuk meneruskan kes terhadap pesalah yang didakwa jika beliau mendapati terdapat bukti cukup dalam aduan itu,” kata Tun Majid.

Mahkamah menambah, Suyanti diambil bekerja sebagai pembantu rumah, bukan hamba.

Tun Majid memerintahkan Rozita menjalani hukuman penjaranya bermula hari ini dan menolak permohonan kebenaran pelaksanaan oleh peguamnya Haniff Khatri Abdulla.

Haniff berkata mereka diarahkan untuk merayu terhadap hukuman penjara itu.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Rozita, 44, diikat selama 5 tahun dengan bon sebanyak RM20,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, selepas menukar pengakuan kepada bersalah kerana menyebabkan kecederaan teruk kepada pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso.

Klip video Suyanti yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan Mutiara Damansara di Petaling Jaya tersebar pada Disember 2016.

Menurut laporan, Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.

Satu petisyen atas talian menolak keputusan mahkamah itu mendapat lebih 70,000 tandatangan setakat ini.